Saturday, October 26, 2013

MEMBANGUN KAPASITI - Kerangka Latihan dan Pembangunan Berasaskan Pertumbuhan (GOTD)

     Berdasarkan Kerangka Latihan dan Pembangunan Berasaskan Pertumbuhan (GOTD) dan surat-pekeliling Perkhidmatan Bil 6 Tahun 2006, Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam, pihak sekolah telah mengambil tindakan untuk  membangunkan modal insan bagi mencapai kecemerlangan organisasi mengikut kerangka tersebut. Pelbagai langkah diambil untuk mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber manusia. Pihak pengurusan sekolah membangun manusia melalui program terancang dan merangkumi setiap aspek pengurusan dalam sekolah.
     Sekolah saya mempunyai 122 orang guru di mana 20% guru DG 48, 30% guru DG 44, 49% adalah DG 4,. Pihak pengurusan membuat penyusunan semula struktur organisasi berdasarkan DG yang diperolehi. Guru-guru DG 48 akan diberikan tugas-tugas yang mencabar seperti mengetuai ketua panitia, ketua unit dalam pengurusan seperti ketua 3k, ketua Disiplin dan sebagainya.  Biasanya tugas-tugas penting dalam unit atau bahagian tertentu akan diberikan kepada guru-guru DG 44. Contohnya ketua pasukan uniform atau ketua rumah. Guru-guru DG 41 akan membantu dalam semua bidang yang ada di sekolah. Bagi guru-guru yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang tertentu akan diberikan tugas dalam bidang kepakaran masing-masing contohnya guru yang mahir ICT akan menguruskan pembestarian ICT di sekolah. Dalam pengajaran dan pembelajaran semua guru diberi tanggung jawab mengajar mengikut opsyen dan guru juga akan diberi peluang untuk mengajar matapelajaran seperti Sivik dan Kewarganegaraan, pendidikan Jasmani, kesihatan atau Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual Menengah Rendah walaupun mereka bukan opsyen tetapi mereka akan diberi latihan dan tunjuk ajar dari guru yang opsyen atau guru yang berpengalaman iaitu guru DG 44 dan DG 48. Semua maklumat guru dan latar belakang guru dianalisis untuk pengagihan tugas yang sesuai dengan bidang kemahiran masing-masing.
     Latihan-latihan yang diberikan kepada mereka juga bersesuaian dengan peringkat DG yang mereka ada. Contohnya, guru DG 48 yang sememangnya telah kompeten dalam bidang masing-masing, mereka akan menjadi mentor kepada guru DG 41 dan DG 44. Di sini perlunya LADAP di mana perancangan tentang pengurusan manusia dalam kemajuan kerjaya dilaksanakan mengikut keperluan. Ini adalah kerana sebagai guru yang baru mereka perlu dibantu dalam pengajaran dan pembelajaran,  pengurusan dalam kelas, pengurusan kokurikulum dan Hem. Bagi guru DG 44, meningkatkan motivasi dan kompetensi mereka supaya mereka sentiasa bersemangat menjalankan tugas sebagai pendidik perlu sentiasa dipupuk.

     Adalah di harapkan dengan memahami kerangka GOTD ini, pengurusan sekolah dapat mengenal pasti keupayaan sumber manusia yang ada disekolah bagi menyokong organisasi mencapai visi, misi dan objektif sekolah. Kegagalan dalam pengurusan sumber manusia boleh menyebabkan kepincangan  struktur organisasi serta gagal menyampaikan tahap perkhidmatan yang dikehendaki.

No comments:

Post a Comment