Friday, October 04, 2013

Pesanan Saidina Ali R.A.

Pesanan  Saidina Ali R.A. kepada Malik Al-Harith berkenaan pemilihan Ketua Hakim-Dalam memilih ketua hakim pilihlah orang yang paling baik dalam kalangan rakyat. Seorang yang tidak ada masalah rumah tangga. Tidak boleh digertak, jarang melakukan kesilapan, tidak berputus asa dalam mencari kebenaran. Tidak tamak haloba, Tidak akan membuat keputusan selagi tidak mengetahui kebenarannya. Tidak pentingkan diri sendiri dan sentiasa membuat pertimbangan dalam semua keputusan yang dibuat. Akan mengumumkan keputusan dengan jelas setelah membuat pertimbangan.
Nasihat-nasihat yang diberikan kepada Malik Al-Harith dapat diamalkan dalam pengurusan  di sekolah. Dalam kita memilih ketua bagi menerajui unit-unit dalam pentadbiran contohnya menjadi ketua panitia, ketua jadual waktu dan lain-lain ketua yang utama. Kita hendaklah memilih seorang yang mempunyai perlakuan yang baik. Seorang yang mempunyai karisma, berani dan sentiasa melaksanakan tugasan dengan  cekap dan betul. Jika ada perkara yang tidak patut berlaku beliau berani untuk menegur dan membetulkan. Seorang ketua panitia semestinya seorang yang berupaya menegur orang bawahannya dari aspek kerja. Jika orang bawahannya melakukan kesilapan, beliau perlu membantu dan membimbing supaya pelaksanaan kurikulum dapat berjalan dengan berkesan. Begitu juga dengan pengajaran dan pembelajaran, beliau boleh menjadi mentor kepada ahli-ahli panitia. Dengan cara itu permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran boleh dikurangkan dan seterusnya dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran guru kepada murid.
Saidina Ali juga menyatakan gaji yang diberikan hendaklah sesuai dengan jawatan yang dipegang di mana cukup untuk hidup dalam kesenangan dan setaraf dengan kedudukan supaya beliau tidak tergoda dengan kemewahan. Kedudukannya mesti tinggi supaya beliau tidak terpengaruh dengan fitnah dan hasutan. Dalam hal ini kita sebagai pentadbir hendaklah meletakkan ketua-ketua di tempat yang sepatutnya. Contohnya, ketua panitia dikumpulkan dalam bilik yang berbeza dengan orang lain. Keistimewaan dari segi jumlah masa mengajar diberikan kepada mereka kerana mereka mempunyai jawatan yang tinggi di sekolah. Kedudukan sebagai ketua dan diberi sedikit keistimewaan akan meningkatkan rasa hormat orang bawahan terhadap mereka.
Sebagai seorang ketua, mereka tidak boleh bersikap pentingkan diri sendiri, mereka perlu meletakkan organisasi atau sekolah sebagai keutamaan mereka jika mereka ingin melihat kejayaan anak-anak murid.

Saidina Ali R.A  juga berpesan tentang  Badan Kehakiman Rendah. Apabila memilih pegawai dalam badan kehakiman. Hendaklah memilih dengan penuh berhati-hati kerana jawatan ini menjadi rebutan  dan idaman bagi orang yang ingin mencari kekayaan dan tamak haloba. Jangan memilih pegawai atas dasar nepotism dan kronism kerana akan timbul kelak ketidak adilan dan kecurangan. Di sekolah apabila kita memilih pegawai kita perlu melihat tentang pengalaman seseorang dan yang lebih baik lagi orang tersebut mestilah orang yang beriman.. Ini perlu kerana orang yang beriman tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh melanggar perintah agama. Semua pekerjaan dilakukan kerana Allah. Oleh itu keikhlasan melaksanakan tugas akan terbit dengan cara yang tidak sedar. Andai kita memilih pegawai atas dasar kroni dan nepotism, kelak kemungkinan salah guna kuasa dan penyelewengan akan berlaku.
Dalam menguruskan sekolah, pengurusan harta sekolah perlu diurus dengan baik. Seperti pesanan Saidina Ali  tentang pentadbiran hasil hendaklah dilaksanakan dengan penuh teliti untuk memastikan kesejahteraan orang-orang yang membayar cukai kepada kerajaan kerana kesejahteraan mereka menentukan kemakmuran hidup orang lain terutamanya kemakmuran hidup rakyat jelata.
Dalam hal ini kita sebagai pengurus sekolah perlu menjaga sekolah dengan penuh tanggung jawab. Contohnya menjaga fizikal bangunan sekolah, sebagai pengurus sekolah kita perlu memastikan bangunan sekolah yang ada dapat berfungsi sebagai tempat untuk belajar murid. Memastikan bumbung tidak bocor, simen tidak pecah dan sebagainya. Murid dapat belajar dalam keadaan kondusif serta dapat menggunakan segala perabot seperti kerusi, meja dengan sempurna. Sebagai guru juga kita perlu menjaga aset-aset kerajaan supaya murid atau rakyat dapat menggunakan dan menikmati apa yang diberi oleh kerajaan. Jika ada kerosakkan pada aset atau fizikal sekolah, kita perlu membuat penyelenggaraan dengan segera supaya ia dapat dibaiki dan digunakan. Andai kita prihatin tentang segala yang diperlukan oleh warga sekolah, kita akan disanjung dan dihormati oleh semua orang.
Kesimpulannya, pesanan Saidina Ali banyak menekankan tentang kehidupan kita sehari-hari. Pesanan tersebut banyak menasihati kita bagaimana untuk memilih ketua dalam sesuatu organisasi dan bagaimana mengurus harta yang terdapat dalam organisasi tersebut. Pemilihan seorang ketua yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan, beriman dan bertakwa merupakan ciri utama untuk menjadi ketua. Pemimpin yang yang bertakwa tidak akan melakukan perkara-perkara yang melanggar perintah. Pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan seperti berani, tidak mudah dicabar, merupakan pemimpin yang boleh membawa kepada kecemerlangan organisasi.
Dalam memilih ahli dalam organisasi, sememangnya di sekolah kita menerima pegawai yang dibekalkan kepada kita. Oleh itu apa yang perlu kita laksanakan ialah kita membentuk pegawai-pegawai bawahan kita menjadi seorang yang boleh dipercayai dan sedia untuk berkhidmat kepada organisasi. Caranya ialah dengan membentuk satu team yang boleh bekerja secara sepasukan. Dalam LADAP boleh diterapkan kerja sepasukan. Dalam aktiviti yang terdapat di sekolah kita pupuk semangat kekeluargaan supaya saling menolong dan saling perlu memerlukan.

Seterusnya dalam pentadbiran mengurus harta sekolah sebagai pengetua kita perlu sentiasa memastikan pembangunan sekolah dijaga dan sentiasa membuat penambahbaikan supaya sekolah berada dalam keadaan sempurna dan lengkap dan memberi kemudahan dan faedah kepada semua warga dan masyarakat setempat. Pesanan Saidina Ali memberi kita panduan dalam menerajui organisasi dan penghayatan tersebut perlu untuk memudahkan kita mentadbir sekolah.

No comments:

Post a Comment