Monday, June 03, 2013

Markah yang Awesome....muah,muah...

98% aku mendapat markah untuk tugasan ku kali ini. Sungguh tak ku sangka aku masih boleh mengarang walaupun kadang kala idea ada tapi nak disebut dengan perkataan, speechless.... Lama aku tak buka blog ku ini..almaklum tugas di sekolah, di rumah, tugas e-pembelajaran...waduh! waduh! tak menang tangan. Macam-macam nak di buat. Kalau macam tangan sotong mudah nak dicapai, tapi yerla pelik la  jadinya kalau dah banyak tangan ...hehehe. Anyway why not you all baca assigment ku ini. Bahagian (a) tu memang mudah, cut and paste jer dari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Hah! bahagian 
( b) tu yang mencabar soalannya....

MODUL 2

a)  Berdasarkan video klip ucapan YAB Dato’ Sri Najib bin Hj Tun Abdul Razak, nyatakan anjakan paradigma yang telah dirancang untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.   (11 markah)


SOALAN 1  (a)

Berdasarkan video klip ucapan YAB Dato’ Sri Najib bin Hj Tun Abdul Razak terdapat sebelas  (11) anjakan  paradigma yang telah dirancang untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Sebelas anjakan tersebut dapat dihuraikankan seperti berikut:Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.  Menanda aras keupayaan dalam kemahiran membaca, matematik dan sains dengan standard antarabangsa.  Melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan semakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada 2017.  Peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan dibuat  untuk  meningkatkan  tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi. Melanjutkan pendidikan wajib daripada 6 tahun kepada 11 tahun bermula pada umur 6+ tahun, disokong dengan program pengekalan yang disasarkan dan latihan vokasional sebagi persediaan untuk pekerjaan. Meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus.Anjakan 2:  Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.. Memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang sama pada peringkat rendah, dengan sokongan pemulihan intensif untuk murid yang memerlukan bagi menggantikan kelas Peralihan. Memperluas program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dan memperluaskan peluang bagi pendedahan terhadap Bahasa Inggeris. Menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan menjelang 2025.
Anjakan 3 : Melahirkan  rakyat  Malaysia yang menghayati nilai. Perkukuh pendidikan Sivik dengan menjadikan perkhidmatan komuniti sebagai prasyarat untuk tamat persekolahan menjelang 2017. Memperkukuh Pendidikan Islam dan Moral dengan memberi lebih fokus ke atas teras nilai dan falsafah agama utama menjelang 2017. Memperkembangan murid secara holistik dengan mengukuhkan keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1 Kelab dan 1 Badan Beruniform. Mengukuhkan dan memperluas RIMUP mulai 2016 untuk memudah cara interaksi antara jenis sekolah, kumpulan etnik dan sosio ekonomi.
Anjakan 4 : Mentransformasi profesion keguruan sebagai profesion pilihan. Mengetatkan syarat lantikan guru mulai 2013 supaya dalam kalangan graduan 30% teratas. Meningkatkan kualiti CPD mulai 2013, dengan lebih tumpuan ke atas keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah. Memastikan guru memberi fokus ke atas fungsi teras pengajaran mulai 2013 dengan mengurangkan beban pentadbiran. Melaksanakan laluan kerjaya guru berasaskan kompetensi dan prestasi mulai 2016. Meningkatkan laluan guru untuk peranan kepimpinan, pakar pengajaran dan pakar bidang khusus menjelang 2016. Membudayakan kecemerlangan berasaskan pimpinan rakan sekerja dan proses pensijilan mulai 2025.Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi di tempatkan  di setiap sekolah. Memperkenalkan kriteria pemilihan berasaskan kompetensi. Proses perancangan penggantian bagi pengetua/guru besar mulai 2013. Melaksanakan pakej kerjaya baharu bagi pengetua gurubesar mulai 2013, dengan lebih sokongan, lebih fleksibiliti pengoperasian bagi menambah baik sekolah, kurikulum dan kokurikulum, serta lebih akauntabiliti terhadap meningkatkan keberhasilan murid.
Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Mempercepatkanpenambahbaikan prestasi sekolah melalui program yang sistematik dan dipimpin PPD di semua negeri menjelang 2014. Meningkatkan autonomi pengurusan berasaskan sekolah, termasuk lebih fleksibiliti pengoperasian ke atas pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum, dimulai dengan sekolah yang mencapai prestasi tinggi dan menunjukkan peningkatan prestasi besar. Memastikan 100% sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas menjelang 2015, bermula dengan Sabah dan Sarawak.
Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui 1BestariNet bagi semua 10,000 sekolah menjelang 2013. Menambahkan kandungan atas talian untuk perkongsian amalan terbaik bermula dengan perpustakaan video guru terbaik menyampaikan pengajaran dalam mata pelajaran kritikal pada 2013. Memanfaatkan penggunaan ICT bagi pembelajaran jarak jauh dan berasaskan kendiri untuk meningkatkan kapasiti dan pembelajaran lebih khusus.Anjakan 8: Mentranformasi kebolehupayaan dan kapasiti penyampaian kementerian. Mengupaya JPN dan PPD dengan memberi lebih hak membuat keputusan terhadap bajet dan personel, serta meningkatkan akuantabiliti bagi KPI mulai 2013. Sekurang-kurangnya 2,500 lagi personel di tempatkan daripada KPM dan JPN kepada PPD untuk menyokong sekolah menjelang 2014. Memperkukuh kebolehupayaan kepimpinan bagi 150-200 jawatan kepimpinan utama mulai 2013. Memperkukuh fungsi utama dan merasionalisasi struktur Kementerian mulai 2016.
Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa komuniti dan sektor swasta secara  meluas. Matlamat melengkapi ibu bapa bagi membantu pembelajaran anak mereka melalui sarana penglibatan ibu bapa dan akses atas talian kepada kemajuan anak di sekolah(SAPS). Mendapatkan maklum balas daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan kurikulum setempat dan kualiti guru mulai 2016. 1,000 biasiswa daripada sektor swasta untuk murid berbakat daripada komuniti miskin untuk belajar disekolah swasta dan antarabangsa. Memperluas model Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dengan melibatkan kumpulan alumni dan NGOs yang berpotensi sebagai penganjur.
Anjakan 10 : Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit. Mengaitkan setiap program kepada keberhasilan murid yang jelas dan merasionalisasi program berimpak rendah pada setiap tahun, selaras dengan anjakan keseluruhan kerajaan ke arah Buget Berasaskan Keberhasilan (OBB). Memanfaatkan peluang meningkatkan efisiensi, dengan mengagihkan peruntukan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
Anjakan 11:  Meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung. Menerbitkan laporan tahunan awam bagi kemajuan sasaran dan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan mulai 2013. Melaksanakan semakan komprehensif  pada tahun 2015, 2020 dan 2025 bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan kekal relevan dengan memasukkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan mengambil kira perkembangan persekitarannya.
      Anjakan ini dilakukan berperingkat-peringkat. Gelombang pertama membabitkan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan, di mana keperluan guru diberikan penekanan serta pelajar akan diberikan tumpuan dalam pembangunan kemahiran asas mereka.  Bagi gelombang kedua, rancangan pelaksanaannya akan dilakukan berasaskan perkembangan dan pencapaian semasa. Untuk gelombang ketiga pula, bermula 2020 hingga 2025, kuasa autonomi membabitkan pentadbiran sekolah akan diberikan.       Kesimpulannya, sistem pendidikan Malaysia akan hanya dapat memenuhi aspirasi besar menerusi komitmen dan sokongan semua pihak berkepentingan. Pelan ini akan mencorakkan masa depan yang lebih cerah dan gemilang untuk semua anak Malaysia – mandat yang besar dan aspirasi yang jitu. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh semua rakyat Malaysia ke arah merealisasikan aspirasi menerusi kerjasama semua pihak untuk membolehkan semua kanak-kanak  memperoleh hak masa depan mereka.
     

SOALAN 1 (b)

b) Agenda kelima dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) ialah memastikan seorang Pengetua atau Guru Besar yang berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.  Bincangkan bagaimana anda sebagai pemimpin Instruksional dapat mewujudkan iklim sekolah yang positif untuk merealisasikan agenda kelima tersebut dengan jayanya berserta contoh.  (14 markah
   
      Istilah ‘instruksional’ berasal  daripada perkataan  bahasa Inggeris  instruction dengan kata dasarnya ‘instruct  yang bermaksud ‘ajar’. Istilah ‘instruksional’ adalah kata kerja yang bererti ‘pengajaran’ atau ‘proses mengajar sesuatu’. Ia adalah proses, bentuk, atau cara penyampaian maklumat oleh seseorang kepada orang lain.
      Peranan iklim sekolah amat bersangkut paut dengan personaliti dan perkembangan kecemerlangan akademik pelajar serta keberkesanan sesebuah organisasi sekolah. Ringkasnya iklim sekolah adalah suasana yang menggambarkan sekolah yang teratur, terkawal,  tenang, dan tertib yang memungkinkan atau menyediakan satu suasana yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran berkesan dan positif, bukan suasana sebaliknya seperti riuh-rendah ikut suka, kelam-kabut, hingar-bingar dan seumpamanya. Sekolah yang berkesan perlu mempunyai budaya dan iklim pengurusan yang baik. Setiap sekolah perlu membina budaya dan iklim yang bersesuaian dengan matlamat dan persekitaran sekolah tersebut.
       Usaha bagi menerapkan budaya positif di sekolah memerlukan kemahiran tertentu yang perlu ada pada setiap pemimpin. Oleh yang  demikian pengetua sebagai peneraju sekolah perlu bersedia melengkapkan diri dengan pengetahuan dan  menangani cabaran dunia pendidikan. Persiapan yang mantap membolehkan pengetua menggabung jalinkan segala  bidang iaitu pengurusan organisasi , kurikulum, kokurikulum,  hal ehwal murid, kewangan, pengurusan pejabat, persekitaran dan kemudahan fizikal, sumber manusia dan perhubungan luar bagi melahirkan pendidikan yang berkualiti dan sekolah berkesan.

Penetapan Visi dan Misi
 James Weber (1996) membincangkan tentang peranan pemimpin instruksional di sekolah sebagai penghubung dan peneraju proses pengajaran dan pembelajaran. Konsep kolaborasi dalam pengurusan amat penting khususnya dalam era perkongsian kepimpinan dan pengurusan di tempat kerja serta keperluan peranan kepimpinan tanpa menghiraukan struktur organisasi sesebuah sekolah.
      Sebagai pemimpin di sekolah , saya mesti berupaya untuk menzahirkan dasar dan hala tuju organisasi dengan berfokuskan kepada pembinaan halatuju yang berkualiti, pemikiran strategik dan proaktif. Berdasarkan mandat  yang diberikan oleh kerajan seperti  Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002), Akta Kewangan 1957, Arahan perbendaharaan, surat-surat pekeliling,  dasar-dasar kementerian Pelajaran dan semua Dasar dan undang-undang Kerajaan Malaysia, saya berusaha untuk berfikir secara meluas, mendalam dan panjang disamping tidak melupakan nilai-nilai yang perlu dan juga Bidang Keberhasilan Utama(KRA) dalam pendidikan.
 Menetapkan misi dan target pencapaian pelajar dan sekolah-Head count dan menerangkan dengan jelas kepada guru,staf dan murid tentang  visi dan misi sekolah dan dapat menjiwainya secara bersama. Memindahkan visi sekolah kepada tindakan secara bersama.
     Dalam konteks ini saya membuat pendekatan kepada membuat perubahan kepada yang lebih baik. Saya akan  membina budaya ilmu yang kondusif  dalam masyarakat warga sekolah. .Saya sentiasa mengekalkan visibility yang tinggi, kelihatan dan sentiasa bermaklumat. Cara penyeliaan yang begini dikatakan mampu menghasilkan iklim sekolah yang  positif  yang setiap warganya ghairah “passionate” dalam tugas dan tanggungjawab masing-masing dan mampu menjana sinergi dalam sekolah tersebut. (Covey, 2004; Hallinger dan Murphy, 1985; Murphy, 1990). Pendekatan Management by Walking  Around – MBWA akan saya amalkan. Kehadiran saya selain daripada untuk tujuan meronda adalah untuk mendapatkan input secara langsung kepada perjalanan segala bentuk aktiviti sekolah, juga bertujuan untuk membolehkan saya memberi kata-kata semangat dan lebih merapati staf dan murid serta memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka. Mengikut prinsip MBWA, sekiranya kita menunggu orang lain untuk datang kepada kita, kita akan hanya mengetahui masalah-masalah kecil; seorang pemimpin harus keluar mencari masalah kerana masalah besar biasanya wujud tanpa orang menyedari kehadirannya (Deming, 2000).

 Penghayatan dasar kurikulum

      Mengurus bidang kurikulum merupakan salah satu misi utama sekolah. Oleh itu sebagai pengetua saya harus mempunyai ketrampilan untuk membimbing guru dari segi amalan pengajaran dan pengurusan bilik darjah agar menyediakan peluang terbaik untuk kejayaan murid.  Membuat agihan dan persefahaman tugas semua pentadbir,ketua panatia dan guru serta penggabungan tugas secara sinergi. Pastikan keperluan pengajaran dan pembelajaran yang diperlukan oleh guru mencukupi dan kemaskini. Memantau keupayaan guru dan murid secara adil dan berterusan. Membimbing dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada guru dan murid untuk peningkatan keupayaan diri dalam PdP. Terlibat secara jujur dalam PdP.  Pengetua melibatkan staf dalam pembuatan keputusan. Pengetua juga sentiasa memberi sokongan kepada guru terhadap amalan pengajaran mereka dan menggalakkan mereka menggunakan inovasi dalam kerja seharian mereka. . Peka terhadap faktor-faktor yang boleh membantutkan semangat guru dan staf. Contohnya bilik darjah tidak kondusif, kurang kebajikan dan tahap disiplin pelajar lemah. Pelajar  digalakkan bekerjasama dalam aktiviti pembelajaran mereka.

Penghayatan  Transformasi Kepimpinan

     Menurut Burns (1978), pemimpin transformasi merupakan pemimpin yang melibatkan diri dengan orang lain melalui satu cara yang tertentu sehingga pemimpin dan pengikutnya dapat  meningkatkan motivasi dan semangat bekerja ke suatu tahap yang lebih tinggi. Manakala Bass (1985) pula menggambarkan kepemimpinan transformasi sebagai pemimpin yang memiliki prestasi serta keupayaan kepimpinan yang luar biasa. Avolio dan Bass (2004) pula menyatakan bahawa kepemimpinan transformasi sebagai satu proses untuk  mempengaruhi dan menggubah kesedaran orang bawahan tentang perkara yang penting, serta menggerakkan mereka mengenal diri sendiri, peluang, dan cabaran yang ada dalam persekitaran ke arah yang baru. Sehubungan itu, kepemimpinan transformasi dilihat dapat  membantu mewujudkan semangat dalam kalangan pengikut tetapi proses mewujudkannya agak sukar (Bass & Riggio, 2006). Namun tidak mustahil andai kita berfikiran positif terhadap hasrat dan impian kita, kita dapat melakukannya.

Kompetensi ICT

      Mempunyai kemahiran terkini terutama dalam bidang ICT merupakan aset bagi seorang pemimpin. Kemampuan seorang pengetua menguruskan organisasi nya dengan kompetensi yang tinggi menggunakan ICT untuk semua  9 bidang pentadbirannya memberi keyakinan kepada seluruh organisasi untuk bergantung kepada kepimpinannya. Pembudayaan penggunaan ICT dalam kalangan warga sekolah mampu mengeluarkan tenaga kerja yang berfikiran glokal, kritis dan kreatif. Amalan-amalan terbaik dijadikan panduan dalam perancangan, pelaksanaan dan pengukuran pencapaian pembudayaan ICT. Strategi-strategi pelaksanaan pembudayaan ICT disesuaikan dalam PdP dan pengurusan sekolah. Contohnya penggunaan “Power Point”. “Edu-Wed TV”, Blog-blog pendidikan, “You Tube” dan sebagainya dalam pengajaran dan pembelajaran. Penyampaian sistem maklumat di sekolah menggunakan ICT seperti penggunaan e-rekod, email, whats app, twitter dan menggunakan aplikasi terkini dalam kalangan guru dan staf.
      Pelan Pembangunan Pendidikan merangkakan 4 Dasar Kerajaan berkenaan ICT.  4 Dasar ICT ini perlu dihayati untuk Pengurusan  Perubahan  yang boleh diaplikasi bagi menerapkan pembudayan penggunaan  ICT di sekolah.  “KASAbestari” Model Pengurusan Perubahan Bahagian Teknologi Pendidikan boleh dijadikan panduan dalam menguruskan ICT di sekolah. Hasilnya ICT dapat melahirkan modal insan berteraskan kemahiran abad ke-21. Ia juga  dapat meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan sistem pengurusan dan pentadbiran di sekolah.

Berfikiran terbuka

Saya akan mempraktikkan  polisi pintu terbuka di mana idea daripada guru dan juga pelajar diambil kira untuk dipraktikkan. Dengan menyediakan peti cadangan , taklimat dan mesyuarat mereka boleh memberi sumbang saran bagi penambahbaikan organisasi. Berkomunikasi dengan cara terbaik, mesra dan saling menghormati.  Sediakan khidmat sokongan untuk membimbing guru dan staf.  Adakan perbincangan dan perjumpaan mengenai urusan kerja dalam suasana kondusif dan bersahaja. Bina semangat kerja berpasukan. Gunakan bakat yang ada pada guru dan staf sepenuhnya untuk menjalankan tugas . Sediakan peluang-peluang untuk guru dan staf berkongsi  kepakaran. Dengan mewujudkan kumpulan “TINK TANG” dalam kalangan guru cemerlang dan guru yang bermotivasi akan membentuk pasukan yang kuat untuk bekerja sepenuhnya kepada sekolah.  Pihak pentadbiran mempunyai program pembangunan staf untuk menggalakkan perkembangan profesional dikalangan guru dan staf. Latihan dalam perkhidmatan seperti “Team Building”, Budaya berpasukan, Budaya penyayang dirangka bagi memantapkan  kerjasama erat dalam kalangan warga sekolah. Kenali setiap guru dan staf secara tidak formal dan berkongsi pengalaman positif secara tidak langsung. Bersedia menerima teguran dan penilaian guru dan staf walaupun pahit.  Bekerja secara bersama untuk mencapai budaya cemerlang dan gemilang dalam pelbagai bidang.

Penghargaan

     Menurut Hallinger dan Murpy (1985) pengetua atau guru besar dapat mempengaruhi sikap murid dan guru dengan mewujudkan sistem ganjaran yang memberi pengukuhan kepada pencapaian akademik dan usaha-usaha yang produktif. Dalam hal itu membentuk budaya positif di sekolah, elemen memberi penghargaan  dan ganjaran merupakan elemen yang sangat utama. Dengan menyediakan insentif kepada guru dan murid kita dapat membentuk piawai dan harapan positif dengan menunjukkan ketepatan pengurusan masa dalam segala aktiviti, memberitahu murid tentang jangkaan sekolah berkaitan prestasi mereka dan membimbing guru serta menggalakkan perkembangan professional  dalam melaksanakan polisi akademik .
 Cara yang berkesan untuk melaksana :
a.       Pujian dan galakan yang berterusan seperti memberi pujian secara peribadi atau diumumkan dalam mesyuarat, perhimpunan tentang sesuatu pencapaian.
b.      Memberi penghargaan dalam bentuk sijil atau hadiah sebagai menghargai    pengorbanan guru, staf dan murid dalam menjayakan sesatu aktiviti. Ini akan memberikan impak yang besar  untuk mereka lebih komited bekerja untuk sekolah.
c.       Memberi  ganjaran bagi projek akedemik yang dijalankan seperti mendapat lawatan percuma ke tempat-tempat bersejarah atau Petrosains.
d.       Memberi ganjaran jika memenangi pertandingan seperti kuiz, pidato, bahas dan   sebagainya.
e.       Penghargaan guru berdasarkan kejayaan prestasi pelajarnya.contoh pencapaian 100%  mata pelajaran Geografi dalam SPM.
f.        Anugerah pelajar berdasarkan pencapaian akedemik dan kokurikulum. Hubungi  ibubapa untuk memaklumkan kecemerlangan anak-anak mereka.


      Kesimpulannya, adalah diharapkan dengan pendekatan yang telah saya huraikan saya dapat membawa sekolah ke arah hala tuju yang dihasratkan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.