Thursday, February 27, 2014

Alahai interview DG52....

Tak pernah terfikir oleh ku bertapa sukarnya laluan untuk menjadi pengetua. Pabila PPPM dilaksanakan dalam gelombang 1 (2013-2015). Aku terkedu kerana syarat untuk menjadi pengetua mestilah mempunyai NPQEL....dah lama rasanya menjadi guru penolong kanan pentadbiran, rasanya high time nak merasa jadi pengetua. Syarat mandotori ini amat perit untuk dibuat. Apa taknya dalam usia 5 siri ini, mampukah aku untuk belajar lagi..... Hah! akhirnya aku berjaya dalam kursus NPQEL selama 5 bulan setelah melalui pelbagai ujian mendaki genting tiap minggu, belajar hingga ke pagi, menyiapkan assignmen yang bertimbun-timbun sambil menguruskan sekolah dan rumah tangga. Hebatkan...
Kini tiba saatnya aku terpaksa memohon jawatan memangku DG 52 untuk pengetua...ok aku teruskan dan tiba masanya aku akan dipanggil untuk temuduga...Aduhai! rasanya makan nasi dah tak kenyang begitu juga tidur dah tak tentu arah..Dalam masa seminggu lebih aku terpaksa membuat fortfolio tentang projek yang pernah aku buat yang memberi impak yang besar kepada sekolah. Selepas temuduga saya diminta untuk update maklumat diri kerana dimaklumkan untuk dihantar ke SPRM untuk tapisan. Adui! dah lah sesi temuduga banyak soalan cepu mas. Aku nasihatkan kau orang fahamilah apa yang dipelajari di NPQEL. Banyak ilmu di sana diguna pakai masa temuduga...Setelah bersusah payah begini ku harapkan pemangkuan DG52 akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin..

Di bawah ni ku coretkan fortfolio ku yang perkataan lebih kurang 700 perkataan seperti yang di kehendaki oleh penemuduga.

Program MUTIARA “A” PMR

Rasional
Prestasi pencapaian pelajar dalam peperiksaan Percubaan PMR 2013 amat mendukacitakan dan sangat membimbangkan. Keputusan terlalu jauh dari mencapai sasaran.
( Rujuk  Lampiran 1- 2  )
Gred Purata Mata Pelajaran bagi 9 mata pelajaran untuk percubaan 2013 jatuh berbanding keputusan PMR 2012.  Dapatan menunjukkan:
1.     Murid belum bersedia untuk menghadapi  peperiksaan.
2.    Murid tidak cukup latihan.
3.    Murid tidak fokus dalam belajar.
Berdasarkan faktor ini, satu program yang drastik telah dirangka bagi meningkatkan prestasi murid supaya sasaran GPS PMR bagi sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dapat dicapai iaitu sebanyak 2.5. (Rujuk lampiran 3)
Program ini  khusus untuk membantu  pihak sekolah mencapai matlamat melalui  3 strategi iaitu:
1.    Mengumpulkan murid kumpulan cemerlang berdasarkan pencapaian peperiksaan percubaan PMR 2013.
2.    Membuat  “team teaching”  dalam kalangan guru tingkatan 3.
3.    Membuat latih tubi berfokus.
Dalam mengurus perubahan dalam organisasi, saya sebagai Guru Penolong Kanan pentadbiran  bertanggung jawab sepenuhnya dalam bidang kurikulum. Saya mengambil tindakan yang strategik, berani dan proaktif untuk meningkatkan GPMP bagi setiap mata pelajaran.

( Rujuk lampiran 4 - 7  kertas kerja program)
Seramai 70 orang murid dikenal pasti sebagai murid yang berpotensi untuk cemerlang berdasarkan peperiksaan Percubaan PMR. Guru yang terlibat terdiri dari semua guru tingkatan 3. Semua mata pelajaran yang diajar pada waktu petang akan menggunakan strategi “team teaching”.  
Latihan yang diberikan kepada murid adalah soalan-soalan pada tahun lepas dan juga soalan dari sekolah berasrama penuh. Latihan berbentuk objektif dan struktur.
Dalam proses melaksanakan program tersebut, setiap warga komuniti perlu mempunyai satu tujuan dalam melakukan perubahan melalui komitmen, sumber dan kerja sepasukan. Fullan (2011) menyatakan untuk mendapatkan hasil yang baik dalam melakukan perubahan memerlukan satu tekanan yang positif. Tekanan yang positif ini mendorong kepada kebaikan. Justeru itu saya mengambil keputusan untuk tidak berlengah dengan memanggil semua guru yang mengajar tingkatan 3 untuk menerangkan visi dan misi sekolah.
( Rujuk lampiran 7 – 9 )
Jadual  guru dan kelas disusun semula untuk membolehkan program dijalankan tanpa sebarang halangan. Guru-guru yang bertugas pada waktu petang diberi sagu hati kerana mereka sanggup berkorban masa dan tenaga bagi kelangsungan program ini. Guru bidang dan ketua panitia diarah untuk membuat pemantauan dan menyiapkan modul. Jadual kehadiran guru dan murid disediakan dan semua laporan atau aduan akan segera diambil tindakan supaya program dapat dijalankan dengan berkesan. Penyelaras kecemerlangan tingkatan 3 menguruskan dan menyediakan kemudahan murid dibantu oleh guru pelatih yang membuat latihan mengajar di sekolah ini. Staf sokongan pula diminta untuk membantu guru dalam urusan mencetak, menyusun modul dan menyediakan tempat.    Program Mutiara A ini dicanang dan disebarkan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa bagi memberi kejutan dan kesedaran tentang transformasi yang perlu dilaksanakan bagi menempa kejayaan. 
Saya mendapat bantuan dari segi kewangan dari PIBG untuk menampung perbelanjaan makan tengah hari dan bayaran sagu hati guru. Peruntukan PCG pula digunakan dalam menampung perbelanjaan kertas.           
Bolehlah saya katakan dalam  melaksanakan program  Mutiara A, kapasiti manusia dapat dibangunkan secara optimum. Sebagai penggerak utama dalam misi ini, saya sentiasa mengingatkan di perhimpunan, siaraya dan papan kenyataan tentang peranan dan tanggung jawab setiap individu dan sentiasa diulang supaya warga sekolah tidak alpa.


Impak Program Mutiara “A” 
( Rujuk lampiran  10 – 14 )
Keputusan PMR 2013 menunjukkan 7 mata pelajaran meningkat GPMP. Seramai 27 orang murid mendapat “straight A”. 10 mata pelajaran, peratus pencapaian mengatasi pencapaian peringkat Nasional dan Negeri. Peratus pencapaian keseluruhan PMR, untuk sekian kalinya memecahkan angka 80 selama 13 tahun iaitu sebanyak 80.1%. Gred Purata Sekolah melebihi sasaran sekolah dan Jabatan Pendidikan Melaka iaitu 2.48.
   
Refleksi
Saya dapat  melaksanakan kepimpinan instruksional   dengan  memastikan proses pengajaran  dan pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan. Kemahiran menganalisis, berfikir secara logik, kreatif dalam mengeluarkan idea dan dapat menyelesaikan masalah dengan berkongsi bersama guru-guru supaya pelaksanaan program berjalan lancar dapat memberi impak yang positif kepada sekolah.  Sikap inginkan kejayaan,  optimistik dan bekerja dalam semangat kerja sepasukan juga dapat diterapkan dalam kalangan guru. Dengan mempamerkan teori kepimpinan transformasi, saya dapat menterjemahkan  matlamat sekolah kepada  subordinat  untuk  mencapai perubahan signifikan melalui kepentingan dan tenaga secara kolektif.             
       
Cadangan penambahbaikan.
Program perlu dilaksanakan lebih awal iaitu berdasarkan peperiksaan pertengahan tahun. Jangka masa program lebih panjang,  banyak latih tubi dapat dibuat. Peranan  (Kumpulan Sokongan Ibu Bapa – KSIB) boleh membantu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan aktiviti dalam bidang perkongsian kepakaran.


***************************************************************

1 comment:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete