Friday, July 17, 2020

TRIBUTE - ALLAHYARHAM CIKGU ROSLI ABDUL AZIZ

Sajak ini di tujukan khas untuk Allahyarham Cikgu Rosli Abdul Aziz. Meninggal dunia kerana terjatuh dari tingkat 1, ketika membetulkan paip air di SK Batu Gajah Tanah Merah Kelantan pada 14 Julai2020.


Usai perkhabaran yang hadir
terbungkam kelu
aku terpalit rasa
walau tidak pernah bersua
aku lebih mengerti
pengorbanan mu cikgu
bukan rahasia
segala macam rencam digalas
penuh kerelaan dan cinta.

Inilah ketentuan
dalam syukur
untuk kembali menyambut anak didik
kau juga seperti aku
ingin menatap memeluk rindu
anak-anak tercinta
setelah lama terpisah
angkara pandemic yang menggempa.

Ini takdirnya
dalam menghadapi kesibukan menyiapsiaga
SOP dalam PKPP
kau rebah ke bumi
buat selamanya
membawa hasrat murni
menjaga keselamatan
warga SK Batu Gajah, Tanah Merah Kelantan.

Aku masih tersentak
dalam tangis tanpa bicara
menyelusup rasa duka
kehilangan sebutir mutiara yang terpelihara
meruntun jiwa dunia pendidikan.

Kini kau di pelataran sepi
ditemani pohon kemboja
dan wangi kasturi menyelimuti mu.  

Tuhan menyayangi mu
pergi mu tanpa selamat tinggal
pergi mu tetap dalam ingatan
pergi mu diiring doa yang panjang

Tenang lah kau di sana
perjuangan mu tetap diteruskan 
A-Fatihah......


NorM Puisirasa
16 Julai 2020












Tuesday, July 07, 2020

MENGORAK LANGKAH - PUAN HJH RUBAYAH



Hidup ini adalah perjalanan
setiap langkah tidak pernah sunyi
akan cabaran
kau teruskan jua langkah
semangat berkobar dan membara
mengharungi pahit manis
dalam melonjakkan pendidikan
Negeri Melaka

Dengan tekad yang kental dalam genggaman
dalam kehalusan bicara yang tegas
kau melihat pelbagai sandiwara
drama itu kau sematkan cita
untuk menatang kemenjadian manusia
di situ titik permulaan
nama mu terukir

Kejayaan demi kejayaan kau gapai
bersama warga Paya Rumput membasahi keringat
berinovasi dan berkreaviti
kau julangkan titik kemenangan
untuk guru dan anak didik
kerana kau adalah ikon
wanita yang kuat
visi mu yang jelas
begitu ampuh
hingga tak siapa dapat menyanggah
Srikandi berbunga
di pesada Jabatan Pendidikan Melaka

Berbekal keyakinan fokus utama
masih banyak ruang untuk kau isi
strategi dan tindakan
dalam destinasi mu yang baru
menggapai masa depan yang cerah
untuk seluruh semesta
Peribadi mu yang utuh
bisa menggerak mengantung usaha yang tak putus
untuk kemenjadian murid semua

Kau adalah penyemangat kami
sering bermotivasi
tika kita menghadapi rintangan
mengerah kami untuk berjuang
dengan semangat jitu
mengusir kemalasan
menyentak raga sanubari
melepas dari keterlekaan.

SMK Paya Rumput ditinggalkan
tika memeluk ke puncak
terukir senyuman gagah tersergam
pancaran cahaya
abadi terbina
dari jerit perih bertatih
kini bangga mendabik dada
wajah Srikandi memayung impian
dalam membukti pendidikan asas kepada kejayaan.

Wahai sahabat ku Srikandi istimewa
tentunya aku berbangga
langkah yang kau hayun menjulang harapan
teruskan perjuangan ini
langkah mu yang deras
optimis dalam usaha
akan tetap mekar
harum melebar
bangkit menyerlah dalam destinasi yang baru
di dunia pendidikan Negeri Melaka
seterusnya di mata negara.

                                                                  NorM 7 Julai 2020

Sunday, July 05, 2020

BINGKISAN UNTUK ANAKANDA





Di hujung datar
seorang gadis
sendirian menghayun langkah
Seorang anak remaja
mengerling mata susuk yang lalu
pada setiap kesempatan waktu.

Tika itu 
susuk itu adalah purnama
yang menerang sudut
tanpa pernah disedari 
malah tak pernah tercuit
dengan nama di setiap bibir berbicara
dalam dambaan anak-anak didik.

Aku kah gadis itu?
yang hadir seketika
mengenggam rindu di jiwa
Engkau kah yang menitip wajah
dalam hangat mentari yang bisu?

Ini lah ketentuan
yang tak pernah diimpikan
satu perhubungan
satu ikatan 
kerinduan yang tertangguh
memeluk di penghujung masa

Anakanda ku
diri mu menjadi tanda tanya
masih samar untuk diselami
masih banyak yang kabur 
hidup mu masih banyak menyimpan cerita
namun
naluri ku berbisik
engkau adalah sebahagian aku
yang muncul tuk menyerlah 
sinar kebahagiaan.

Anakanda ku
engkau telah dewasa
tarikh keramat 10 Julai
kau sudah separuh abad
dan aku telah menginjak usia tua
mengah dan lelah
dalam tidak percaya
kita dipertemukan di maya
menikmati rasa kasih
dalam kesempatan yang masih ada.

Terima kasih tuhan ku
kau anugerahkan aku keindahan
hadir mu anakanda
dalam rahmat mu
kasih sayang yang tercipta
membangunkan aku
tiba-tiba.

Aku tak mampu melafazkan
bibir ini terkunci
menyimpan seribu rasa
mengalir cinta yang luhur 
ibarat lautan terbentang
kasih mama tiada sempadan.

Anakanda ku
sempena hari lahir mu
mama doakan
anakanda dipanjangkan umur
teguhkan iman mu
lapangkan rezeki
dekatkan kepada kebaikan
menjadi anak yang soleh
sentiasa taat kepada Mu
dan berbakti kepada kedua orang tua...
aamiin aamiin ya rabbalalamin.