Tuesday, August 25, 2020
AKU KEHILANGAN (Karya Puan Norlilah Ismail Mantan Pengetua SMK Gombak Setia)
Terima Kasih Mek..
35 tahun mek menerima diri ini
sebagai ahli dalam keluarga
diri ini berasa mudah dan selesa
dalam perbezaan
kebiasaan budaya
Terima kasih Mek..
begitu banyak pesanan
yang terhimpun
hingga aku tidak langsung
rasa terasing
Terima kasih Mek..
yang mengajar aku
erti kehidupan
selagi kita ada kudrat
berusahalah mencari yang bermanafaat
Terima Kasih Mek..
aku sentiasa diingatkan
berjimat itu berkat
menyimpan tika lebih
boros itu punca letih dan pedih
hutang bukan penyelamat
malah satu malapetaka yang tenat
Terima Kasih Mek..
yang sangat memahami
tika hati ni sedih
kekecewaan
tanpa perlu ku luahkan
dia tahu
aku tak perlu mengadu
dan dia sentiasa menyakinkan
dengan doa yang dipanjatkan
dan aku kembali mengaut kekuatan
Terima Kasih Mek
aku bersyukur diberi
peluang menyantuni mu
pada tika mek paling lemah
pada masa hanya gerak lidah
menuruti ungkapan syahadah
tanpa suara kedengaran
bila hanya gerakan jari dan genggaman mu
pengganti bicara
Terima kasih Mek..
keinsafan menyentap jiwa
hujan iktibar yang melimpahi
memberi pengajaran buat ku
tentang realiti
Allah ampuni ibu kami
Allah terimalah segala amalannya
Allah berilah sebaik baik ganjaran
buat mek.
Aku kehilangan.. ðŸ˜ðŸ˜ðŸ˜
Al Fatihah.
Karya Norlilah Ismail
Ogos 2020
Friday, August 07, 2020
KEMBALI
Celik dalam warna suram
kancah kehidupan
kesukaran amat panjang
kasih sayang jauh terasing
merindui bicara dalam tangis yang sedan
menyesak dada
tercunggap menahan duka yang merintih raga
Usai melangkah waktu
aku menghitung rasa
kian hari semakin kosong
kelangsungan hidup yang mendesak
memendam sebuah kehidupan penuh ujian
liku-liku yang bercabang
mengheret langkah tersasar
mencari cahaya dan pengharapan
penyuluh keabadian
Aku lelah
merenung kekhilafan yang sia-sia
menerawang, menghitung keseronokan yang terleka
memahat titik-titik noda
tersembunyi dalam fatamorgana
Aku tak betah sendirian
tersungkur
memeluk diri dalam tangis yang bisu
mencengkam hati yang terkunci
perih hampa
Siapa yang hadir
menghulur tangan dalam kelemasan yang merantai
Siapa yang menyonsong diri merelakan aku menyandar.
Tuhan ku
bagai mimpi menyentap diri yang lena beradu
aku dibisik langkar kata yang indah
dari naskah suci
dengan rimbunan kasih mengubat jiwa
dalam keinsafan yang menyusuk rasa
memayungi aku yang terkapar dalam kepanasan yang membara
minda bagai terbuka
untuk menyelami rahsia kitab mu
Tuhan ku
aku ingin kembali
sujud kepada mu
sebagai hamba yang redho
mengharap pengampunan
aku sering berpaling pada mu yang esa
noda yang bersisa
dosa-dosa yang kini menghimpit jiwa
membunuh ketenangan yang ku damba
Astaghfirullah Rabbal Barroya
Astagfirullah Minal Khotoya
Ampunkan aku ya Allah
Aku masih bertatih
langkah ku masih menjauh
pandangan masih terhijap
untuk menyelami rahsia mu
Tuntuni aku
sematkan keyakinan di dada
agar aku sentiasa dalam rahmat mu
agar aku sentiasa diberi hidayah
hingga ke hujung nafas menghela.
NorM Puisirasa
7 Ogos 2020
Hasbi Rabbi Jallaullah, Ma Fi Qalbi Ghaiyrullah
Cukuplah Tuhan bagiku Allah Maha Agung, tiada Tuhan dalam hatiku kecuali Allah
Nur Muhammad Sallaullah Laillah Hail Laullah
Cahaya Muhammad selamat atasnya, benarlah tiada Tuhan selain Allah
Subscribe to:
Posts (Atom)