Langkah ku telah sampai
ke destinasi akhir
mewarna alam baru
meninggalkan keributan
yang penat dan lelah
Hari ini
9 kompetensi tak perlu kugarap
E-Operasi, Hrmis dan Emis kini lenyap dibenak
SSDM, APDM dan segala E
semakin pudar dalam ingatan
seiring berlalunya hari
GPMP dan GPS tidak lagi menghampar kegusaran
SKPMg2 tidak lagi menyesak jiwa
sering membuat ku terpana pabila ditanya
tenang setenang air di kolam
menyiram dingin hati yang nyaman
Pagi ini tidak seperti semalam
tergesa kalut menerjah sekolah
menyelesaikan konflik
Guru, anak didik dan staf
isu air, bekalan elektrik yang tak pernah sudah
penyelenggaraan kerap menaik darah
kebersihan dan keselamatan
menyesak dikepala
kini......
aku menarik nafas lega
bangun yang perlahan
langkah tidak sederas biasa
usia sudah pun berbalam
satu pengharapan
sihat sejahtera meniti masa
doa bahagia yang dipinta
hingga ke akhir usia.
Pengetua bukan lagi jawatan yang di puja
mengarah, memimpin telah pun sirna
jiwa pendidik tetap melekat
cinta yang membara
selagi terdaya
ku tabur keringat dan idea
demi membangun bangsa dan agama.
NorM 25 Ogos 2020
Koleksi PUISIRASA NorM
No comments:
Post a Comment