Pujian dan
Pengiktirafan
Kepimpinan yang berkesan akan menimbulkan kepuasan
kerja di kalangan pekerja dalam sesebuah organisasi. Bagi Herzberg,
satu-satunya cara untuk mewujudkan kepuasan kerja yang akan meningkatkan
motivasi adalah dengan menjadikan kerja itu sendiri lebih menarik. Dengan ini
membuka peluang kepada pencapaian, pengiktirafan, tanggungjawab dan kemajuan.
Dalam hal pujian dan pengiktirafan, pengetua sekolah
sentiasa meningkatkan motivasi dan membina iklim yang ceria dengan memberi
penghargaan kepada surbodinatnya dan juga murid dalam bentuk kata-kata ataupun
material pada bila-bila masa yang perlu jika mereka berjaya meningkatkan
prestasi ataupun menjayakan sesuatu program.
Di dalam perhimpunan rasmi setiap minggu pengetua
sekolah akan memberi ulasan tentang
kejayaan sekolah di samping memberi pujian misalnya, kepada murid yang telah
berjaya dalam bidang kokurikulum. Selain dari itu pemberian sijil dan hadiah
diberikan sebagai tanda menghargai kemenangan mereka. Bagi mereka yang telah berjaya
dalam pertandingan di peringkat kebangsaan, mereka berpeluang untuk menyertai
pertandingan yang lebih besar iaitu peringkat internasional dan semuanya
dibiayai oleh sekolah dan PIBG. Pada
Hari Guru pula akan diadakan anugerah untuk guru-guru dan juga panitia yang
telah memberi keputusan yang cemerlang atau yang telah membuat lonjakan dalam
meningkatkan prestasi mata pelajaran. Pada Hari Kualiti biasanya semua murid
yang telah memberi perkhidmatan kepada sekolah seperti pengawas, ketua pasukan,
ketua pengerusi persatuan dan kelab dan lain-lain jawatan kepimpinan sekolah
akan diberikan sijil penghargaan atas perkhidmatan mereka sepanjang tahun
tersebut.
Murid-murid
yang telah mencipta nama serta mengharumkan sekolah, gambar mereka akan di
tampal di papan kenyataan supaya kegemilangan yang dicipta dapat dikongsi oleh
masyarakat sekolah. Begitu juga dengan tokoh murid, pihak sekolah akan memilih
tokoh murid yang mempunyai sahsiah dan prestasi akademik yang baik untuk
dijadikan ikon kepada murid lain. Biodata murid tersebut akan dipaparkan kepada
seluruh warga sekolah Sains Muzaffar sebagai penghargaan sekolah terhadap
beliau.
Selain
dari itu, hari kelahiran guru-guru dan murid diraikan dengan mengumumkannya di
perhimpunan rasmi. Mereka diberikan hadiah sebagai menghargai mereka adalah
warga sekolah itu. Dalam jamuan akhir tahun semua staf sokongan dan guru
diraikan di hotel 5 bintang bagi mengenang jasa dan bakti mereka kepada
sekolah. Pemberian hadiah disumbangkan dengan kerjasama kelab staf dan PIBG. Pemberian
markah prestasi guru adalah sangat tinggi iaitu sebanyak 90 keatas dan
pemberian Anugerah Perkhidmatan cemerlang (APC) diberikan mengikut giliran
kerana majority layak diberikan APC.
Kesimpulannya, memberi penghargaan dan pujian memang
diamalkan di sekolah ini. Proses ini dapat membina skop yang lebih besar kepada
pencapaian individu, memberi lebih cabaran dan tanggungjawab dalam pekerjaannya
dan mencipta lebih ruang untuk perkembangan dan kemajuan diri (Wright, 1989).
6. Tindak Ikut
Kejayaan
sesebuah organisasi bergantung kepada gaya kepimpinan yang ada di kalangan
pengurus dalam organisasi tersebut. Ini kerana kesediaan dan komitmen orang
yang dipimpin dalam organisasi amat bergantung kepada kemampuan pemimpin itu
mempengaruhi dan meyakinkan mereka dalam membuat sesuatu tindakan. Selain itu,
kepimpinan yang berkesan memberikan kepuasan kepada pengikut dan ini secara
tidak langsung akan menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang.
Oleh itu untuk mengekalkan kejayaan Program
Memahkotakan Impian Remaja, pengetua
sering mengingatkan tentang tanggung jawab yang perlu digalas oleh
setiap guru. Ketua Pengarah Pendidikan Shukor Abdullah di dalam perutusan Hari Guru 1999, beliau
menyebut; "Guru-guru menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan diri masing-masing dapat dijadikan
contoh kepada pelajar. Oleh itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah
menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai
pendidik yang unggul.”
Justeru guru-guru digalakkan melaksanakan sesuatu
tugas dengan penuh semangat dan dedikasi.
Usaha atau tenaga yang digembelingkan itu mestilah selaras dengan tahap
keyakinan semua pihak yang terlibat.
Pengetua menjadi sumber inspirasi guru-guru. Sifatnya
yang yakin, berwawasan, sensitif kepada perubahan dan sebagai agen kepada
perubahan menjadikan pengikut yakin dan meletakkan harapan tinggi kepada
pemimpin untuk melestarikan matlamat yang digariskan oleh organisasi demi
kejayaan bersama.
Kejayaan
projek ini bergantung kepada kerjasama semua warga sekolah ini. Semua guru
terlibat dalam program ini di mana mereka terpaksa mengorbankan masa dan tenaga
mereka kerana program ini dibuat pada waktu malam dan hujung minggu. Oleh itu,
waktu bersama keluarga memang terabai. Malah kadang-kala kehidupan guru-guru di
sini terlalu sibuk dan ada yang menghadapi tekanan kerana sekolah ini adalah
sekolah berorientasi hasil. Halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi dalam
mengekalkan kejayaan projek ini ialah masa. Murid-murid di Sekolah Menengah
Sains Muzaffar Syah, jadual harian mereka sangat padat. Kelas bermula jam 7.30
pagi dan berakhir jam 4.00 petang. Selepas itu murid-murid tingkatan 3 dan 5
akan meneruskan aktiviti kelas tambahan pada pukul 4.00 petang hingga 5.00
petang. Beriadah sehingga jam 7.00 petang. Mengurus diri sehingga 8.00 malam
dan terus menyertai Program Memahkotakan Impian Remaja 8.00 hingga 11.00 malam.
Pada hujung minggu program ini juga dilaksanakan. Kepadatan waktu menyebabkan
kemungkinan murid akan kepenatan. Guru yang mengajar sebelah malam pula tiada
rehat yang cukup. Hasilnya berkemungkinan program ini tidak berkesan kerana
keletihan.
Oleh
itu untuk mengatasi masalah ini, perancangan yang teliti dan konstruktif perlu
dilaksanakan supaya program ini boleh diteruskan dengan melaksanakan penambahbaikan.
Mengambil kira tentang bebanan tugas guru dan memberi sedikit ruang berehat
untuk murid-murid perlu diberi pertimbangan supaya kehidupan mereka tidak
menjadi seperti robot. Jadual yang terlalu padat perlu dilonggarkan sedikit
dengan mengambil kira win win situation. Tugasan
untuk mengajar pula tidak dibebankan kepada hanya beberapa guru tetapi
dilibatkan semua supaya ada pusingan jadual untuk mengajar. Hujung minggu juga
perlu dikurangkan aktiviti untuk memberi ruang guru dan murid berehat. Pengajaran
dan Pembelajaran dalam kelas perlu diberi tumpuan supaya ianya lebih berkesan
dan program ini tidak dijadikan seperti kelas harian.
No comments:
Post a Comment