Kepentingan Kepimpinan Empatik bagi
Meningkatkan Kesedaran Sosial dalam Kalangan Pemimpin Organisasi
Empati mencakupi banyak
aspek terhadap penilaian moral dan tindakan (Goleman, 1995). Ianya wujud secara semula jadi jika kita sedar
terhadap persekitaran dan tekanan yang mempengaruhi antara satu sama lain (Senge, 1990). Dalam kalangan
pemimpin, kepimpinan empatik perlu bagi meningkatkan kesedaran sosial kerana
pemimpin sentiasa berhubung dengan manusia.
Jika seseorang pemimpin
sekolah mengamalkan ciri empati, kepercayaan subordinat (guru-guru dan staf)
terhadap pentadbiran sesebuah sekolah akan meningkat. Pihak guru dan staf akan
mempunyai motivasi yang tinggi dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Ini kerana pendapat dan sumbangan mereka didengari dan dihargai oleh pihak
pentadbir sekolah. Keadaan ini akan mewujudkan kepuasan kerja di kalangan guru
dan staf sekolah.
Pemimpin sekolah yang
mengamalkan ciri empati akan menjadi lebih rapat dengan guru-guru dan staf. Jika hubungan yang memberi manfaat terhadap
pemimpin dan subordinat ini diamalkan, suatu iklim kerja yang positif dapat
diwujudkan. Ini kerana wujudnya suasana kerjasama yang sangat erat di antara
pemimpin dan subordinat. Secara tidak langsung, pentadbiran sesebuah sekolah
akan berjalan dengan lancar yang akhirnya memberikan manfaat terhadap kemajuan
para pelajar.
Menurut kajian oleh Leonardo BADEA & Nicolae Alexandru PANÄ‚
(2010), seorang pemimpin yang mempunyai aras kebolehan berempati
yang tinggi, mereka akan memperolehi ciri-ciri seperti berikut:
- Mereka berupaya membina perhubungan
interpersonal yang lebih kuat
- Mereka adalah lebih baik dalam motivasi
kendiri
- Mereka berperanan sebagai pemimpin yang
lebih baik
- Mereka dapat beradaptasi dengan lebih
mudah terhadap perubahan
- Mereka mewujudkan iklim kerjasama
- Mereka lebih mudah menenangkan diri
mereka
- Mereka lebih dipercayai oleh subordinat
- Mereka mewujudkan perhubungan antara
ahli-ahli dalam organisasi
- Mereka mewujudkan resonans (kata-kata
mereka didengari oleh subordinat)
Pemimpin yang empatik akan
mewujudkan hubungan yang positif di kalangan ahli-ahli organisasi sekolah.
Apabila keadaan yang positif wujud, para guru dan staf akan bekerja dengan
motivasi yang tinggi dan memberikan mereka kepuasan dalam melaksanakan tugasan
masing-masing. Pemimpin sekolah yang berempati terhadap guru-guru dan staf akan
lebih dihormati dan arahan mereka akan mudah didengari oleh guru-guru dan staf.
Sesebuah sekolah yang mempunyai seseorang pemimpin berkesan yang mengamalkan
ciri empati ini akan muncul sebagai sebuah sekolah yang cemerlang para
pelajarnya dari aspek sahsiah dan juga akademiknya.
Justeru itu, ciri empati yang
ada pada pemimpin ini seharusnya diamalkan sebaik-baiknya oleh seseorang
pemimpin di sesebuah organisasi sekolah selagi ianya tidak disalahgunakan.
Ianya bermula daripada niat yang ikhlas terbit dari hati seseorang pemimpin
untuk memberi perkhidmatan kepada subordinat supaya suatu suasana kerja yang
positif wujud dalam organisasi yang ditadbirnya. Ini bertepatan juga dengan
konsep yang diamalkan oleh corak kepimpinan Islam yang mementingkan amalan
kerja yang dimulai dengan niat kerana Allah SWT.
No comments:
Post a Comment