*APAKAH BENAR ADA KAITAN SURAH AL AHZAAB AYAT 33 DENGAN DENGAN LARANGAN KELUAR DARI RUMAH EKORAN PENULARAN WABAK COVID19 (VIRUS CORONA?)
Susunan dan Ringkasan oleh: Ust. Adika Zain Ali
Sejak akhir-akhir ini terlalu ramai yang cuba menafsirkan ayat-ayat al-Quran menurut pendapat akalnya yang tersendiri.
Diantara yang sedang hangat diperkatakan dan viral melalui aplikasi whatsapp, facebook, ig dan seangkatan dengannya adalah artikel yang mengaitkan ayat 33 surah al-Ahzaab dengan larangan keluar dari rumah ekoran penularan wabak COVID19 atau Virus Corona.
Bagi menjawab isu ini, terlebih dahulu izinkan saya nyatakan bahawa terdapat beberapa metod tafsir yang digunakan oleh para mufassirin iaitu ulama tafsir dalam menafsirkan al quran.
*Pertama:* Tafsir Dengan Al-Ma’tsur iaitu *tafsiran menggunakan Al-Quran, Al-Sunnah, dan pendapat-pendapat para sahabat serta tabi’in.*
*Kedua:* Tafsir Dengan Ijtihad (Al-Ra’yu) iaitu perbuatan *mentafsirkan Al-Quran dengan menggunakan ijtihad. Iaitu tafsir al-quran dengan ijtihad setelah mufassir (individu yang mentafsir) mengetahui bahasa arab, mengetahui lafaz-lafaz arab serta wajh al-dilalahnya, mengetahui asbab al-nuzul (sebab-sebab penurunan ayat), nasikh dan mansukh, dan seumpamanya.*
Dalam kategori metod tafsir yang kedua ini terbahagi kepada dua jenis iaitu Tafsir Bil Ra’yi Yang Datang Melalui *Individu Yang Layak* dan Tafsir Bil Ra’yi Dari *Orang Yang Tiada Kelayakan.*
Secara asasnya, para ulama telah menyebutkan beberapa syarat yang perlu ada untuk melayakkan seseorang itu menafsirkan Al-Quran. Iaitu dia hendaklah menguasai ilmu-ilmu seperti bahasa arab, nahu dan sorof, ilmu balaghah, ilmu qira’at, usuluddin, feqh, usul feqh, asbab al-nuzul, nasikh dan mansukh, ilmu hadis, serta beberapa cabang ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran.
Hakikatnya, kategori tafsir dengan ijtihad atau ra’yu di sini adalah dibolehkan. Ini kerana Allah S.W.T telah memerintahkan untuk tadabbur al-quran. Ia berdasarkan firman-Nya:
كِتابٌ أَنْزَلْناهُ إِلَيْكَ مُبارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آياتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُوا الْأَلْبابِ
Maksudnya: (Inilah) Kitab yang telah Kami turunkan kepada kamu (wahai Muhammad) supaya mereka mentadabbur ayat-ayatnya dan supaya golongan Ulul Albab mengambil peringatan. Surah Shod (29)
Begitu juga apabila kita melihat para sahabat Nabi S.A.W saling berbeza pendapat terhadap beberapa tafsiran ayat al-quran. Sekiranya ijtihad dan nazhor (penelitian) terhadap ayat-ayat al-quran itu dilarang, nescayalah para sahabat telah melakukan maksiat. Ini mustahil berlaku kerana mereka telah dijamin keredhaan dari Allah S.W.T.
Perbuatan mentafsirkan Al-Quran dengan menggunakan pendapat sendiri dalam keadaan seseorang itu tidak layak, termasuk di dalam kategori berkata ke atas Allah S.W.T tanpa ilmu (القول على الله بغير علم). Hal ini dilarang oleh Al-Quran melalui firman Allah yang berikut:
إِنَّمَا يَأْمُرُكُم بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya ia (syaitan) menyuruh kamu melakukan perkara yang buruk lagi keji. Serta menyuruh kamu berkata kepada Allah S.W.T akan sesuatu yang kamu tidak ketahui. Surah Al-Baqarah (169)
Demikian juga terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A yang jelas menunjukkan kepada keharaman hal ini. Rasulullah S.A.W bersabda:
وَمَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: Sesiapa yang berkata sesuatu pada Al-Quran dengan menggunakan pendapatnya sendiri maka bersiap sedialah tempatnya di dalam neraka. Riwayat Al-Tirmizi (2951)
Seperti yang diketahui, apabila disertakan hukuman ke atas sesuatu perbuatan itu menunjukkan bahawa ia adalah perkara yang haram.
Demikian juga terdapat beberapa atsar dari para sahabat yang menegaskan larangan terhadap perbuatan ini. Kata Abu Hurairah R.A:
من فسر القرآن على رأيه فإن أصاب لم يؤجر وإن أخطأ مُحي النور من قلبه
Maksudnya: Sesiapa yang menafsirkan Al-Quran menurut pendapatnya sendiri, sekiranya (tafsiran) itu betul, dia tidak akan mendapat pahala. Sekiranya tafsiran tersebut silap, akan dipadamkan cahaya dari jantung hatinya.
Bagi menerangkan dengan lebih jelas, sebagai contoh perbuatan menafsirkan Al-Quran dengan menggunakan akal fikiran sendiri iaitu :
Pertama: Mendakwa diri sebagai Rasul berdasarkan firman Allah S.W.T :
إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya kamu merupakan sebahagian dari para rasul. Surah Yaasin (3)
Lalu seseorang menafsirkannya dengan menyatakan bahawa ayat tersebut merujuk kepada dirinya sendiri.
Kedua: Mendakwa diri sebagai Rasul bagi kaum dan umat tertentu menggunakan firman Allah S.W.T:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا
Maksudnya: Sesungguhnya telah kami utuskan bagi setiap umat itu seorang Rasul (kepada mereka). Surah Al-Nahl (36)
Seseorang menafsirkan ayat ini dengan pendapatnya sendiri lalu mendakwa dia adalah Rasul bagi umat tertentu.
Berbalik pada tujuan asal iaitu tentang ayat 33 surah al-Ahzaab, dimana asbabul nuzul atau sebab penurunan ayat ini adalah *TIADA KAITAN LANGSUNG* dengan larangan keluar dari rumah ekoran penularan wabak COVID19 ini.
Ayat 33: Ini pula adalah ayat hijab tubuh badan untuk para wanita.
وَقَرنَ في بُيوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجنَ تَبَرُّجَ الجٰهِلِيَّةِ الأولىٰ ۖ وَأَقِمنَ الصَّلَوٰةَ وَءآتينَ الزَّكَوٰةَ وَأَطِعنَ اللهَ وَرَسولَهُ ۚ إِنَّما يُريدُ اللهُ لِيُذهِبَ عَنكُمُ الرِّجسَ أَهلَ البَيتِ وَيُطَهِّرَكُم تَطهيرًا
Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
Pada penjelasan tafsiran ayat di atas, sekiranya hendak mengaitkan corona (covid 19) dengan ayat di atas maka terdapat beberapa kesilapan dan salah faham dalam tafsiran tersebut.
*Pertama* pada ayat 33 tersebut al quran ditulis dengan ‘Wa Korna’ وَقَرنَ sedangkan penyakit Corona dalam bahasa arab disebut bermula dari huruf kaf iaitu kaf, ro, wow, nun كرون (karuuna) ini adalah salah faham yang pertama.
*Kedua* iaitu domir ‘Korna’ yang disebut di sini adalah jamak muaanas iaitu في بُيوتِكُنَّ iaitu maknanya larangan berada di rumah untuk kaum wanita sahaja, kaum lelaki dikecualikan, sedangkan pada keadaan sekarang ‘stay at home’ adalah larangan dari pihak pemerintah pada semua iaitu lelaki dan perempuan iaitu isteri, suami dan seluruh ahli keluarga wajib berada di rumah dan padahal tafsiran ayat ini menceritakan khusus untuk kaum wanita sahaja.
*Ketiga,* asbabul nuzul atau penurunan ayat ini bukan sebab berlakunya penularan penyakit, dan pada pengertian tafsiran yang betul adalah apabila kaum wanita datang kepada Nabi dan menceritakan bahawa golongan kaum lelaki mempunyai peluang yang besar untuk masuk syurga dan memperolehi ganjaran yang besar disisi Allah kerana mereka diwajibkan berperang dan berjihad pada jalan Allah sedangkan kaum wanita tidak diwajibkan berperang, lalu Allah SWT turunkan ayat ini.
Sebahagian dari ulama-ulama tafsir diantaranya tafsir ibn Kathir menyebut sebab turunnya ayat ini apabila kaum wanita pergi mengadu pada Rasulullah bahawa mereka tidak mewajibkan terlibat dalam peperangan justru itu mereka tidak memperolehi pahala jihad dan syahid dan mereka cemburu dengan pahala yang dimiliki oleh kaum lelaki.
*Kesimpulan*
Bahawa tafsiran bil ra’yi iaitu dengan ijtihad yang datang dari individu yang berkepakaran terhadap al-quran adalah diharuskan.
Tiada kaitan asbabul nuzul iaitu penurunan surah al ahzaab ayat 33 dengan mengaitkan larangan keluar dari rumah ekoran penularan wabak COVID19 (virus Corona).
Manakala perbuatan menafsirkan Al-Quran melalui pendapat sendiri, tiada asas dan kelayakan adalah haram hukumnya. Ini berdasarkan beberapa nas dan hujahan yang telah kami sebutkan di atas.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama.
Wallahu Taala Alam.
Tarikh: 4 April 2020
*Rujukan:*
_Irsyad Al-Fatwa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur._
_Tafsir Ibn Kathir_
No comments:
Post a Comment