Sunday, April 12, 2020

*PERBAHASAN NISFU SYA'BAN




_Ulasan dan Ringkasan oleh : Ust. Adika Zain Ali_

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Agama ini bukan diikuti tanpa dipastikan kesahihan, atau diikuti tanpa faham. Agama berpaksikan dalil yang diiktiraf. Sesuatu yang tidak berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan hadis-hadis sahih yang sabit tidak boleh disandarkan kepada Islam.

Bulan Sya’ban antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini. Disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah sebagaimana yang disebut di dalam hadith sahih yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.

Terdapat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA, namun amalan-amalan yang tersebut ini adalah bersifat umum.

Oleh itu, tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam Nisfu Sya’ban. Berdasarkan Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: Adapun Nisfu Syaaban, atau pertengahan Syaaban (15 haribulan), terdapat hadis yang sahih tentang kelebihannya di samping banyak hadis palsu mengenainya. Juga tidak terdapat hadis yang sabit mengenai amalan khusus seperti solat khas pada malam tersebut.

Oleh yang demikian, janganlah kita jadikan isu amalan Nisfu Sya’ban ini sebagai satu isu yang boleh menjejaskan hubungan antara kita disebabkan berlainan pendapat. Cuba berlapang dada walaupun berbeza pendapat, tegurlah dengan cara yang berhemah jika ada yang salah, nasihatilah dengan cara yang paling baik agar saudara kita tidak berkecil hati. Ingatlah, setiap orang, lain tahap kefahamannya dan lain juga tahap ilmunya, selalulah bersangka baik agar hati kita sentiasa tenang.

*Kesimpulan*

*Pertama* Hendaklah kita mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan memperbanyakkan amal samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.

*Kedua* Sepatutnya tanyalah diri kita dahulu, adakah amalan-amalan sunat lain yang sangat dituntut sudah dilakukannya secara istiqamah contohnya solat sunat sebelum dan selepas solat fardu, puasa-puasa sunat, solat-solat malam dan sebagainya sejajar dengan amalan Nisfu Sya’ban.

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.

Waalahu Taala Alam.
7 April 2020

No comments:

Post a Comment