TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN (2) BAGI
MENINGKATKAN PRESTASI DAN KUALITI KERJA
TAJUK:
MEMBUKA LEMBARAN BAHARU / OPEN THE NEW HORIZON
“Hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih
baik daripada hari ini”. Ungkapan ini sering menjadi sebut-sebutan kita.
Sesungguhnya, kita memang tidak boleh kekal dengan status quo kerana sifat manusia dan kehidupan manusia itu sendiri adalah bersifat dinamik.
Situasi sentiasa berubah menurut tuntuan masa dan zaman serta teknologi.
Justeru seharusnya dalam kehidupan sama ada termasuk dalam tugas atau kerja
hendaklah sentiasa ada prinsip kepemimpinan, iaitu “membuka lembaran baharu atau open
the new horizon” untuk “hari ini lebih
baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini”.
Menerusi prinsip kepemimpinan, iaitu membuka lembaran
baharu atau open the new
horizon bermakna seseorang
itu berani keluar
daripada zon selesa
yang ada dan menjadi status quo. Zon selesa yang
ada merupakan penghalang utama untuk seseorang atau organisasi bergerak maju ke
hadapan. Hal ini adalah kerana seseorang atau pasukan dalam organisasi itu
gagal melihat tuntutan perubahan mengikut situasi, zaman
dan teknologi. Justeru,
zon selesa menjadikan seseorang itu tidak berani
meneroka strategi, kaedah
dan pendekatan baharu
dalam tugas dan kerja masing-masing. Seseorang itu kekal berada
pada takuk yang sama, lama dan usang. Proses kerja adalah out dated. Hal ini merupakan satu yang
malang bagi sesuatu organisasi. Dengan demikian, penggantian demi penggantian
berlaku dan dapat dilihat dalam organisasi tetapi penggantian tersebut tidak
membawa apa-apa makna, perubahan atau impak pada kecekapan personel dan organisasi.
Penggantian hanya sekadar mengisi kekosongan yang ada. Ketidakcekapan tetap
kekal dengan ketidakkecekapan. Prestasi yang rendah tetap sama kekal rendah.
Isu tetap silih berganti dalam organisasi seperti yang sudah-sudah dan persaingan dan perlumbaan
sesama sendiri tetap seperti dahulu walaupun tiada penamat dan hadiah yang
ditetapkan.
Prinsip kepemimpinan, iaitu membuka lembaran baharu atau open the new horizon membawa seseorang
atau personel dalam sesebuah organisasi melakukan refleksi atau bermuhasabah.
Refleksi atau muhasabah ini hendaklah berasaskan pada isu yang ada seperti
prestasi dan pencapaian yang rendah, kerja atau tugas yang tidak selesai pada
masa yang ditetapkan, isu berbangkit walaupun kerja telah dilaksanakan, tidak
energetic dan kreatif dalam
bekerja dan sebagainya. Selanjutnya, menerusi prinsip kepemimpinan membuka lembaran
baharu atau open the new horizon,
refleksi atau muhasabah pantas dilakukan pada aspek visi dan matlamat,
perancangan, strategi, kaedah dan pendekatan terhadap proses kerja, ilmu dan
kemahiran diri dan seumpamanya. Menerusi prinsip kepemimpinan membuka lembaran baharu
atau open the new horizon ini
akan menzahirkan keupayaan
melihat peluang dalam spektrum atau dimensi yang berbeza dan terbuka
luas. Di sinilah titik mula ruang-ruang kreativiti dan kebijaksanaan baharu
tercipta untuk membawa sinar perubahan baharu dan impak tinggi sama ada pada
kompetensi seseorang, kecekapan proses kerja dan prestasi organisasi. Sekira
dahulunya prestasi rendah akan berubah kepada
prestasi yang lebih
baik, semakin cemerlang dan gemilang. Jika dahulunya
pelbagai isu berbangkit akan berubah kepada berkurangnya isu dan memperlihatkan
peningkatan imej pada kompetensi seseorang dan organisasi.
Berhubungan dengan organisasi yang kita semua kasihi,
iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Melaka termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan
sekolah, diharapkan prinsip kepemimpinan membuka lembaran baharu atau open the new horizon sentiasa ada dalam mindset setiap personel sama ada pada
Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Ketua Penolong
Pengarah Kanan, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua, Guru Besar, Ketua
Penolong Pengarah, Guru Penolong Kanan, Guru Kanan Mata Pelajaran dan Guru- Guru. Kita tidak boleh selesa dengan status quo yang ada. Isu pengurusan dan
pendidikan kita masih belum dapat
dibanggakan secara perbandingan seperti prestasi
akademik yang sederhana, pengurusan kewangan yang banyak berteguran,
pengumpulan data yang tidak cekap, gaya kerja yang silo dan tiada connecting the
dots, tidak energetic dan tidak
kreatif dalam pelaksanaan kerja dan tugas, kurang keterujaan dalam mencapai
visi dan matlamat. Semua ini kerana zon selesa, iaitu status quo yang telah
membunuh mindset dan keterujaan.
Kita harus sentiasa membuat perbandingan, refleksi dan
muhasabah. Sekira negeri-negeri yang lebih kecil dengan Melaka prestasinya
lebih baik, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa sifat kecil dari pelbagai aspek
memudahkan pengurusan dan lantaran itu, mereka mudah berjaya. Sebaliknya,
negeri-negeri yang besar, iaitu banyak sekolahnya, ramai guru dan muridnya, jauh hingga pedalaman
dan pulau yang sukar dalam jangkauan dan rencam
cabarannya memperlihatkan prestasi dan kualiti lebih baik, tentulah ini menjadi
persoalan untuk kita berfikir dan merenung sejenak sama ada pada aspek ilmu dan
pengetahuan, kecekapan dan kompetensi, strategi kerja dan sebagainya.
Isu-isu
yang disebutkan boleh difahami daripada firman Allah SWT, iaitu “Sesungguhnya
solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar” (Surah al Ankabut: 45). Maknanya, mana boleh berlaku isu timbul seperti
perbuatan keji dan mungkar
sesudah mendidirkan solat? Begitu juga mana boleh wujud pelbagai
isu sesudah seseorang itu melaksanakan kerja atau tugas?
Sekira sesudah mendirikan solat tetapi masih berlaku isu
keji dan mungkar, tentunya sama ada suka atau tidak seseorang itu mesti
melakukan refleksi dan muhasabah. Prinsip membuka lembaran baharu atau open then new horizon perlu ada sama ada
pada aspek keikhlasan hati, kebersihan fikiran, ketinggian cita-cita,
ketertiban pelaksanaan solat dan sebagainya. Demikianlah juga bagi seseorang
atau personel dalam akauntabilitinya terhadap organisasi.
Semoga dengan prinsip kepemimpinan membuka lembaran
baharu atau open the new horizon tersemat
sebagai salah satu bentuk mindset setiap
personel atau pegawai di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Pejabat
Pendidikan Daerah dan sekolah untuk
kita bersama-sama mensenergi, mengapung dan menjulang Jabatan Pendidikan Negeri
Melaka, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah atas apungan prestasi dan kualiti
tinggi. Kita tidak boleh menunggu orang lain datang mengubah kita terhadap isu
yang ada seperti prestasi pertumbuhan kemenjadian murid yang belum
membanggakan, audit sekolah berteguran atau sekadar memuaskan, penarafan yang
ada seperti JPN Prioriti, PPD Prioriti dan PPD
Aspirasi.
Justeru
seluruh warga pendidikan negeri Melaka mesti melalui hari-hari dengan prinsip
membuka lembaran baharu atau always open
the new horizon untuk mengangkat imej dan kualiti pengurusan dan pendidikan
kita dan seterusnya menyahut seruan Y.Bhg.
Dr. Habibah Binti Abdul Rahim,
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, iaitu “Bersama-sama Melangkah Lebih Jauh”.
Justeru challenge the process.
DR. MOHD AZAM BIN AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN MELAKA
“Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik,
Negara Sejahtera”
No comments:
Post a Comment