Saturday, April 18, 2020

TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN (3) LAKUKAN SESUATU / DO THE THING

TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN 3
BAGI MENINGKATKAN PRESTASI DAN KUALITI KERJA 

TAJUK: LAKUKAN SESUATU / DO THE THING

       Saya percaya bahawa apabila dilantik untuk sesuatu jawatan akan tersemat jauh di lubuk hati untuk kita memberikan sesuatu, melakukan sesuatu dan mengubah sesuatu demi menjadi lebih baik. Jika diimbau kembali waktu mula menjawat sesuatu jawatan sama ada sebagai guru biasa, Guru Penolong Kanan, Guru Besar, pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah, pegawai di Jabatan Pendidikan Melaka, Timbalan Pengarah Pendidikan dan Pengarah Pendidikan, mesti tersemat hasrat nan murni untuk organisasi. Segala yang ingin dicapai bukan mencari kebanggaan diri atau bersaing dengan sesiapa. Sebaliknya, kesedaran bahawa jawatan yang diperoleh merupakan satu tanggungjawab dan amanah.

      Justeru apabila kita memperoleh jawatan atau amanah, seharusnya ada dalam mindset kita bahawa kita teruja untuk lakukan sesuatu atau do the thing bagi organisasi. Kejayaan kita lakukan sesuatu itu atau do the thing pada jawatan menjadi indikator untuk kita melihat sejauh mana fungsi dan peranan telah dapat dilaksanakan dengan sempurna bagi memajukan organisasi. Apakah organisasi masih ditakuk lama atau apakah organisasi makin teruk atau apakah organisasi bertambah baik dan maju?

      Sehubungan dengan ini, bersama-sama dengan prinsip open the new horizon, kita menilai dan menganalisis organisasi. Apa proses yang perlu digugur, ditambah baik atau diganti. Dengan ini, mindset teruja untuk lakukan sesuatu atau do the thing dan prinsip ini menjadi batu loncatan dan motivasi untuk kita melakukan inisiatif dan tindakan yang mencabar proses atau challenge the process. Oleh hal demikian, sekira guru dalam bilik darjah, guru mesti mempunyai hasrat yang tinggi dan penuh keterujaan untuk melihat prestasi murid maju secara holistik. Kalau kita pemimpin sekolah, kita teruja menyusun strategi, taktikal dan operasi bagi memastikan nilai, potensi, kemahiran diri murid, peratus Melepasi Tahap Minumum (MTM), peratus lulus dalam Pentaksiran Tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran (STPM dan STAM) dan Gred Purata Sekolah (GPS) SPM) tidak kekal di takuk lama atau kekal atas GPS 5. Andai kita sebagai pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, kita teruja untuk melihat ruang dan peluang daripada semua sudut dan aspek untuk menjadikan pendidikan di daerah dan negeri mencapai status pendidikan berkualiti, murid-murid kita menjadi insan terdidik dan nanti kita turut menyumbang kepada negeri dan negara, iaitu melahirkan rakyat yang berkualiti yang memastikan negeri dan negara tercinta ini sejahtera. Dengan demikian, penerokaan ilmu dan pengalaman serta sumber dihasilkan, dicipta dan digembleng bagi memastikan aspirasi sistem bertambah maju dan menyumbang kepada pencapaian aspirasi murid. Justeru refleksi terhadap peranan dan fungsi dilihat dan dipastikan untuk dilaksanakan dengan sempurna, di samping gerak kerja dilaksanakan dengan adanya connecting the dots dalam organisasi.

       Mindset lakukan sesuatu atau do the thing semestinya bermulanya dari langkah pertama dan hari pertama seseorang itu menyertai organisasi. Dari permulaan itu, digerakkan inisiaitf secara bersepadu mengikut peranan dan fungsi bagi mengangkat imej dan prestasi organisasi. Penegasan prinsip ini dapat dikaitkan dengan seruan junjungan besar Nabi SAW, iaitu “ Bersemangatlah dalam hal yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah SWT serta 2 janganlah lemah” ( HR: Muslim ). Tentunya, yang bermanfaat pada kita ialah organisasi dan murid. Kita bersyukur bahawa kita ditempatkan dalam organisasi kita yang menjadi tempat untuk kita dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah. Kita bersyukur kita mempunyai murid, dek kerana mereka kita dapat bekerja dan mendapat rezeki. Sementara sifat tidak kisah, tidak bertenaga dan melaksanakan tugas bak melepaskan batuk di tangga, apatah lagi culas merupakan sifat-sifat lemah yang mesti dihindari.

      Keberadaan kita dalam organisasi dan beradanya kita pada sesuatu jawatan merupakan tanggungjawab dan amanah yang mesti ada akauntabiliti dan pasti akan dipertanggungjawabkan, waimah kita seorang guru biasa mahupun seorang yang berjawatan tinggi seperti Guru Besar, Pengetua, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Timbalan Pengarah Pendidikan dan Pengarah Pendidikan. Hal ini selari dengan keyakinan kita , iaitu “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah SWT dan RasulullahNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahui salahnya.” (QS: al-Anfal: 27).

       Prinsip lakukan sesuatu atau do the thing menjadi momentum hari pertama untuk lebih energetic dengan menggerakkan pelbagai inisiaitif secara inidividu dan pasukan bagi mengangkat imej dan prestasi organisasi. Seseorang itu hendaklah sentiasa sensitif akan isu, keperluan dan perubahan dalam organisasi dan skop serta bidang tugas. Kita dan pasukan mesti menjauhi persaingan sesama kita. Sebaliknya, kita berdiri bersama-sama dalam pasukan sebagai kesatuan yang kuat dan amanah kerana “Sebaik-baik pekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (QS: al Qasas: 26).

 Mungkin keterbatasan waktu, kita tidak sempat memberikan sumbangan besar untuk mencipta kemajuan organisasi. Bagaimanapun, dengan prinsip lakukan sesuatu atau do the thing walau untuk tempoh masa yang singkat itu, sudah memadai untuk kita menyediakan dan membangunkan satu tapak kukuh atau pace setting untuk pengganti meneruskan kemajuan organisasi. Wallahu’alam.

 DR. MOHD AZAM BIN AHMAD

PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI MELAKA

15 April 2020
 ___________________________________________________________________

No comments:

Post a Comment