Showing posts with label prestasi. Show all posts
Showing posts with label prestasi. Show all posts

Saturday, April 18, 2020

TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN (3) LAKUKAN SESUATU / DO THE THING

TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN 3
BAGI MENINGKATKAN PRESTASI DAN KUALITI KERJA 

TAJUK: LAKUKAN SESUATU / DO THE THING

       Saya percaya bahawa apabila dilantik untuk sesuatu jawatan akan tersemat jauh di lubuk hati untuk kita memberikan sesuatu, melakukan sesuatu dan mengubah sesuatu demi menjadi lebih baik. Jika diimbau kembali waktu mula menjawat sesuatu jawatan sama ada sebagai guru biasa, Guru Penolong Kanan, Guru Besar, pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah, pegawai di Jabatan Pendidikan Melaka, Timbalan Pengarah Pendidikan dan Pengarah Pendidikan, mesti tersemat hasrat nan murni untuk organisasi. Segala yang ingin dicapai bukan mencari kebanggaan diri atau bersaing dengan sesiapa. Sebaliknya, kesedaran bahawa jawatan yang diperoleh merupakan satu tanggungjawab dan amanah.

      Justeru apabila kita memperoleh jawatan atau amanah, seharusnya ada dalam mindset kita bahawa kita teruja untuk lakukan sesuatu atau do the thing bagi organisasi. Kejayaan kita lakukan sesuatu itu atau do the thing pada jawatan menjadi indikator untuk kita melihat sejauh mana fungsi dan peranan telah dapat dilaksanakan dengan sempurna bagi memajukan organisasi. Apakah organisasi masih ditakuk lama atau apakah organisasi makin teruk atau apakah organisasi bertambah baik dan maju?

      Sehubungan dengan ini, bersama-sama dengan prinsip open the new horizon, kita menilai dan menganalisis organisasi. Apa proses yang perlu digugur, ditambah baik atau diganti. Dengan ini, mindset teruja untuk lakukan sesuatu atau do the thing dan prinsip ini menjadi batu loncatan dan motivasi untuk kita melakukan inisiatif dan tindakan yang mencabar proses atau challenge the process. Oleh hal demikian, sekira guru dalam bilik darjah, guru mesti mempunyai hasrat yang tinggi dan penuh keterujaan untuk melihat prestasi murid maju secara holistik. Kalau kita pemimpin sekolah, kita teruja menyusun strategi, taktikal dan operasi bagi memastikan nilai, potensi, kemahiran diri murid, peratus Melepasi Tahap Minumum (MTM), peratus lulus dalam Pentaksiran Tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran (STPM dan STAM) dan Gred Purata Sekolah (GPS) SPM) tidak kekal di takuk lama atau kekal atas GPS 5. Andai kita sebagai pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, kita teruja untuk melihat ruang dan peluang daripada semua sudut dan aspek untuk menjadikan pendidikan di daerah dan negeri mencapai status pendidikan berkualiti, murid-murid kita menjadi insan terdidik dan nanti kita turut menyumbang kepada negeri dan negara, iaitu melahirkan rakyat yang berkualiti yang memastikan negeri dan negara tercinta ini sejahtera. Dengan demikian, penerokaan ilmu dan pengalaman serta sumber dihasilkan, dicipta dan digembleng bagi memastikan aspirasi sistem bertambah maju dan menyumbang kepada pencapaian aspirasi murid. Justeru refleksi terhadap peranan dan fungsi dilihat dan dipastikan untuk dilaksanakan dengan sempurna, di samping gerak kerja dilaksanakan dengan adanya connecting the dots dalam organisasi.

       Mindset lakukan sesuatu atau do the thing semestinya bermulanya dari langkah pertama dan hari pertama seseorang itu menyertai organisasi. Dari permulaan itu, digerakkan inisiaitf secara bersepadu mengikut peranan dan fungsi bagi mengangkat imej dan prestasi organisasi. Penegasan prinsip ini dapat dikaitkan dengan seruan junjungan besar Nabi SAW, iaitu “ Bersemangatlah dalam hal yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah SWT serta 2 janganlah lemah” ( HR: Muslim ). Tentunya, yang bermanfaat pada kita ialah organisasi dan murid. Kita bersyukur bahawa kita ditempatkan dalam organisasi kita yang menjadi tempat untuk kita dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah. Kita bersyukur kita mempunyai murid, dek kerana mereka kita dapat bekerja dan mendapat rezeki. Sementara sifat tidak kisah, tidak bertenaga dan melaksanakan tugas bak melepaskan batuk di tangga, apatah lagi culas merupakan sifat-sifat lemah yang mesti dihindari.

      Keberadaan kita dalam organisasi dan beradanya kita pada sesuatu jawatan merupakan tanggungjawab dan amanah yang mesti ada akauntabiliti dan pasti akan dipertanggungjawabkan, waimah kita seorang guru biasa mahupun seorang yang berjawatan tinggi seperti Guru Besar, Pengetua, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Timbalan Pengarah Pendidikan dan Pengarah Pendidikan. Hal ini selari dengan keyakinan kita , iaitu “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah SWT dan RasulullahNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahui salahnya.” (QS: al-Anfal: 27).

       Prinsip lakukan sesuatu atau do the thing menjadi momentum hari pertama untuk lebih energetic dengan menggerakkan pelbagai inisiaitif secara inidividu dan pasukan bagi mengangkat imej dan prestasi organisasi. Seseorang itu hendaklah sentiasa sensitif akan isu, keperluan dan perubahan dalam organisasi dan skop serta bidang tugas. Kita dan pasukan mesti menjauhi persaingan sesama kita. Sebaliknya, kita berdiri bersama-sama dalam pasukan sebagai kesatuan yang kuat dan amanah kerana “Sebaik-baik pekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (QS: al Qasas: 26).

 Mungkin keterbatasan waktu, kita tidak sempat memberikan sumbangan besar untuk mencipta kemajuan organisasi. Bagaimanapun, dengan prinsip lakukan sesuatu atau do the thing walau untuk tempoh masa yang singkat itu, sudah memadai untuk kita menyediakan dan membangunkan satu tapak kukuh atau pace setting untuk pengganti meneruskan kemajuan organisasi. Wallahu’alam.

 DR. MOHD AZAM BIN AHMAD

PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI MELAKA

15 April 2020
 ___________________________________________________________________

Saturday, April 11, 2020

MEMBUKA LEMBARAN BAHARU / OPEN THE NEW HORIZON


TAKLIMAT PENGARAH PENDIDIKAN (2) BAGI
MENINGKATKAN PRESTASI DAN KUALITI KERJA

TAJUK:
MEMBUKA LEMBARAN BAHARU / OPEN THE NEW HORIZON

“Hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini”. Ungkapan ini sering menjadi sebut-sebutan kita. Sesungguhnya, kita memang tidak boleh kekal dengan status quo kerana sifat manusia dan kehidupan manusia itu sendiri adalah bersifat dinamik. Situasi sentiasa berubah menurut tuntuan masa dan zaman serta teknologi. Justeru seharusnya dalam kehidupan sama ada termasuk dalam tugas atau kerja hendaklah sentiasa ada prinsip kepemimpinan, iaitu “membuka lembaran baharu atau open the new horizonuntuk “hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini”.

Menerusi prinsip kepemimpinan, iaitu membuka lembaran baharu atau open the new horizon bermakna seseorang itu berani keluar daripada zon selesa yang ada dan menjadi status quo. Zon selesa yang ada merupakan penghalang utama untuk seseorang atau organisasi bergerak maju ke hadapan. Hal ini adalah kerana seseorang atau pasukan dalam organisasi itu gagal melihat tuntutan perubahan mengikut situasi, zaman dan teknologi. Justeru, zon selesa menjadikan seseorang itu tidak berani meneroka strategi, kaedah dan pendekatan baharu dalam tugas dan kerja masing-masing. Seseorang itu kekal berada pada takuk yang sama, lama dan usang. Proses kerja adalah out dated. Hal ini merupakan satu yang malang bagi sesuatu organisasi. Dengan demikian, penggantian demi penggantian berlaku dan dapat dilihat dalam organisasi tetapi penggantian tersebut tidak membawa apa-apa makna, perubahan atau impak pada kecekapan personel dan organisasi. Penggantian hanya sekadar mengisi kekosongan yang ada. Ketidakcekapan tetap kekal dengan ketidakkecekapan. Prestasi yang rendah tetap sama kekal rendah. Isu tetap silih berganti dalam organisasi seperti yang sudah-sudah dan persaingan dan perlumbaan sesama sendiri tetap seperti dahulu walaupun tiada penamat dan hadiah yang ditetapkan.

Prinsip kepemimpinan, iaitu membuka lembaran baharu atau open the new horizon membawa seseorang atau personel dalam sesebuah organisasi melakukan refleksi atau bermuhasabah. Refleksi atau muhasabah ini hendaklah berasaskan pada isu yang ada seperti prestasi dan pencapaian yang rendah, kerja atau tugas yang tidak selesai pada masa yang ditetapkan, isu berbangkit walaupun kerja telah dilaksanakan, tidak energetic dan kreatif dalam bekerja dan sebagainya. Selanjutnya, menerusi prinsip kepemimpinan membuka lembaran baharu atau open the new horizon, refleksi atau muhasabah pantas dilakukan pada aspek visi dan matlamat, perancangan, strategi, kaedah dan pendekatan terhadap proses kerja, ilmu dan kemahiran diri dan seumpamanya. Menerusi prinsip kepemimpinan membuka lembaran baharu atau open the new horizon ini akan menzahirkan keupayaan melihat peluang dalam spektrum atau dimensi yang berbeza dan terbuka luas. Di sinilah titik mula ruang-ruang kreativiti dan kebijaksanaan baharu tercipta untuk membawa sinar perubahan baharu dan impak tinggi sama ada pada kompetensi seseorang, kecekapan proses kerja dan prestasi organisasi. Sekira dahulunya prestasi rendah akan berubah kepada prestasi yang lebih baik, semakin cemerlang dan gemilang. Jika dahulunya pelbagai isu berbangkit akan berubah kepada berkurangnya isu dan memperlihatkan peningkatan imej pada kompetensi seseorang dan organisasi.

Berhubungan dengan organisasi yang kita semua kasihi, iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Melaka termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah, diharapkan prinsip kepemimpinan membuka lembaran baharu atau open the new horizon sentiasa ada dalam mindset setiap personel sama ada pada Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua, Guru Besar, Ketua Penolong Pengarah, Guru Penolong Kanan, Guru Kanan Mata Pelajaran dan Guru- Guru. Kita tidak boleh selesa dengan status quo yang ada. Isu pengurusan dan pendidikan kita masih belum dapat dibanggakan secara perbandingan seperti prestasi akademik yang sederhana, pengurusan kewangan yang banyak berteguran, pengumpulan data yang tidak cekap, gaya kerja yang silo dan tiada connecting the dots, tidak energetic dan tidak kreatif dalam pelaksanaan kerja dan tugas, kurang keterujaan dalam mencapai visi dan matlamat. Semua ini kerana zon selesa, iaitu status quo yang telah membunuh mindset dan keterujaan.

Kita harus sentiasa membuat perbandingan, refleksi dan muhasabah. Sekira negeri-negeri yang lebih kecil dengan Melaka prestasinya lebih baik, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa sifat kecil dari pelbagai aspek memudahkan pengurusan dan lantaran itu, mereka mudah berjaya. Sebaliknya, negeri-negeri yang besar, iaitu banyak sekolahnya, ramai guru dan muridnya, jauh hingga pedalaman dan pulau yang sukar dalam jangkauan dan rencam cabarannya memperlihatkan prestasi dan kualiti lebih baik, tentulah ini menjadi persoalan untuk kita berfikir dan merenung sejenak sama ada pada aspek ilmu dan pengetahuan, kecekapan dan kompetensi, strategi kerja dan sebagainya.

Isu-isu yang disebutkan boleh difahami daripada firman Allah SWT, iaitu “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar” (Surah al Ankabut: 45). Maknanya, mana boleh berlaku isu timbul seperti perbuatan keji dan mungkar sesudah mendidirkan solat? Begitu juga mana boleh wujud pelbagai isu sesudah seseorang itu melaksanakan kerja atau tugas?

Sekira sesudah mendirikan solat tetapi masih berlaku isu keji dan mungkar, tentunya sama ada suka atau tidak seseorang itu mesti melakukan refleksi dan muhasabah. Prinsip membuka lembaran baharu atau open then new horizon perlu ada sama ada pada aspek keikhlasan hati, kebersihan fikiran, ketinggian cita-cita, ketertiban pelaksanaan solat dan sebagainya. Demikianlah juga bagi seseorang atau personel dalam akauntabilitinya terhadap organisasi.

Semoga dengan prinsip kepemimpinan membuka lembaran baharu atau open the new horizon tersemat sebagai salah satu bentuk mindset setiap personel atau pegawai di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk kita bersama-sama mensenergi, mengapung dan menjulang Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah atas apungan prestasi dan kualiti tinggi. Kita tidak boleh menunggu orang lain datang mengubah kita terhadap isu yang ada seperti prestasi pertumbuhan kemenjadian murid yang belum membanggakan, audit sekolah berteguran atau sekadar memuaskan, penarafan yang ada seperti JPN Prioriti, PPD Prioriti dan PPD Aspirasi.


Justeru seluruh warga pendidikan negeri Melaka mesti melalui hari-hari dengan prinsip membuka lembaran baharu atau always open the new horizon untuk mengangkat imej dan kualiti pengurusan dan pendidikan kita dan seterusnya menyahut seruan Y.Bhg. Dr. Habibah Binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, iaitu “Bersama-sama Melangkah Lebih Jauh”. Justeru challenge the process.

DR. MOHD AZAM BIN AHMAD

PENGARAH PENDIDIKAN MELAKA

“Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”