Monday, November 16, 2020

CERITA LUKA SEMALAM

 

Cerita luka semalam
 
Melihatkan ufuk merah
Kelam seakan menghitam
Menengelamkan bayang kelmarin
Sita kembali menjejak
Semalam yang telah lama bisu
Semalam yang luka dan pedih
Satu persatu hari di intai
Menyatu butiran piruz yang berserakan
 
Masa Sita masih merenung bulan?
Membilang kejora memintal impian
Menghitung hari purnama jatuh ke riba
Bertahun menginjak dekad
Sita masih terpaku kaku
Mengharap pada yang tiada
Menanti pada yang tiada penghujung
Mencari noktah penantian
 
Kau masih bermimpikah Sita?
Mentari sudah menggalah
Berkali ombak menyapa pantai
Kau tau kan ombak tidak selalu biru
Walau kiambang tak bertaut lagi
Usah percaya pada kilau fatamorgana



Lihat saja di tegak berdirimu
Kau masih ada aku...
Biarpun semalam luka memedihkan
Tetap tanpa semalam
Kau tak mungkin ada hari ini
Biar ku pimpin kau mengharung lara
Kuatkan gengamanmu
Kita bangkit menuju firdausi
Telan semua deritamu
Semadikan duka di noktah fana
 
Manjasari
Oktober 2020


Sajak ini merupakan sajak seorang rakan sekuliah semasa di UITM 1989-1984 yang menggunakan nama pena MANJASARI

Monday, November 02, 2020

HADIR



Bagai bintang yang muncul
walau tidak menerangkan
cukup untuk aku terleka
menatap kerdipan sinar
terbuai lena di ulit malam


Dalam nyata atau illusi
hadir mu di sini
mengisi ruang yang sepi
Tika senyum tak mampu diukir
tika kolam mata kekeringan
tika rasa semakin hambar
tika langkah menjadi rapuh


Satu persatu
terungkai duka
mencari sandaran
malu yang tersembunyi 
menyingkap misteri tersimpan
Cinta ini tanpa syarat
terpatri padu
lahir dalam kasih yang tulus
penuh rahsia
milik aku dan kamu


Tarian  hidup yang canggung
tak terungkap dengan bicara
mimpi ini tidak lagi mimpi
takdir mempertemu  
menjalin rasa dalam ketulusan
dan keterbatasan yang rela


Biar di kejauhan
membuah rindu bertalu-talu
membangkit semangat
membunuh gundah 
menganyam bahagia


Hidup bukan fatamorgana
hadir mu
mewarna pelangi 
menyimpul awan 
menghampar rindu
dalam ikatan cinta yang luhur


Terima kasih tuhan
hadir mu suatu anugerah
keyakinan yang pasti
engkau pengubat 
luka yang dicebik
bila hati terbesit


Koleksi PuisiNorM

1 November 2020
        

                                            


Sunday, October 04, 2020

LEGA


Langkah ku telah sampai

ke destinasi akhir
mewarna alam baru
meninggalkan keributan
yang penat dan lelah

Hari ini

9 kompetensi tak perlu kugarap
E-Operasi, Hrmis dan Emis kini lenyap dibenak
SSDM, APDM dan segala E
semakin pudar dalam ingatan
 seiring berlalunya hari
GPMP dan GPS tidak lagi menghampar kegusaran
SKPMg2 tidak lagi menyesak jiwa
sering membuat ku terpana pabila ditanya
tenang setenang air di kolam
menyiram dingin hati yang nyaman

Pagi ini tidak seperti semalam
tergesa kalut menerjah sekolah
menyelesaikan konflik
Guru, anak didik dan staf
isu air, bekalan elektrik yang tak pernah sudah
penyelenggaraan kerap menaik darah
 kebersihan dan keselamatan
 menyesak dikepala
 
kini......
aku menarik nafas lega
bangun yang perlahan
langkah tidak sederas biasa
usia sudah pun berbalam
satu pengharapan
sihat sejahtera meniti masa
  doa bahagia yang dipinta
hingga ke akhir usia.

Pengetua bukan lagi jawatan yang di puja
mengarah, memimpin telah pun sirna
jiwa pendidik tetap melekat
cinta yang membara
selagi terdaya
ku tabur keringat dan idea
demi membangun bangsa dan agama.

                                                                     

                                                                        NorM 25 Ogos 2020

                                                                                 Koleksi PUISIRASA NorM
 

 

Tuesday, August 25, 2020

TERUS MELANGKAH


 
Tika ku toleh ke belakang
mengutip puing-puing kenangan
 tapak yang ditinggalkan
terbendung banyak kepahitan 
tersimpan di sanubari
sendiri memamah diri 
dalam kepayahan yang menyiksa hati

Tika aku tersungkur
aku meraung
tika maruah ku di injak-injak
dan harga diri tak bernilai lagi
Aku bertahan menangisi sakit yang berbisa
tenggelam dalam lautan duka
lemas dalam realiti yang begitu asing
lelah dalam nafas yang tercunggap

 Detik ini
dalam tekad
ku lafazkan selamat tinggal 
mengorak langkah ke hadapan
dengan semangat yang tersisa
untuk memeluk tawa ceria
mengisi ruang-ruang yang terluka
atas perjuangan yang belum reda
 
Selamat tinggal kenangan itu
kepuraan tidak perlu ku usung lagi
drama hidup melara
tiada lagi ku lakun 
episode duka ingin ku talkinkan
bersemadi dalam memori yang padam

Biarpun langkah ku merapuh
biar langkah ku diperuk kejam
biarkan aku mengeluh kesah
kekuatan ku ..
oh! tuhan

Tuhan
inilah jalanku
bisikan mu penyemangat diri
menyelusup ke nadiku
melapang dada yang tercengkam
membuka pintu keinsafan
untuk aku terus sujud
dalam doa tahjud
aku lah hamba mu
yang amat merindui mu

Rabbi yassir walatuasir
Rabbi tamin bil khair

 

NorM 25 Ogos 2020
KOLEKSI PUISIRASA NOR
 
SUBSCRIBE, LIKE dan SHARE
inoi zulpakar You Tube Channel


AKU KEHILANGAN (Karya Puan Norlilah Ismail Mantan Pengetua SMK Gombak Setia)


Terima Kasih Mek..
35 tahun mek menerima diri ini
sebagai ahli dalam keluarga
diri ini berasa mudah dan selesa
dalam perbezaan  kebiasaan budaya
 
Terima kasih Mek..
begitu banyak pesanan
yang terhimpun
hingga aku tidak langsung
rasa terasing
 
Terima kasih Mek..
yang mengajar aku
erti kehidupan
selagi kita ada kudrat
berusahalah mencari yang bermanafaat
 
Terima Kasih Mek..
aku sentiasa diingatkan
berjimat itu berkat
menyimpan tika lebih
boros itu punca letih dan pedih
hutang bukan penyelamat
malah satu malapetaka yang tenat
 
Terima Kasih Mek..
yang sangat memahami
tika hati ni sedih  kekecewaan
tanpa perlu ku luahkan
dia tahu
aku tak perlu mengadu
dan dia sentiasa menyakinkan
dengan doa yang dipanjatkan
dan aku kembali mengaut kekuatan
 
Terima Kasih Mek
aku bersyukur diberi
peluang menyantuni mu
pada tika mek paling lemah
pada masa hanya gerak lidah
menuruti ungkapan syahadah
tanpa suara kedengaran
bila hanya gerakan jari dan genggaman mu
pengganti bicara
 
Terima kasih Mek..
keinsafan menyentap jiwa
hujan iktibar yang melimpahi
memberi pengajaran buat ku
tentang realiti
 
Allah ampuni ibu kami
Allah terimalah segala amalannya
Allah berilah sebaik baik ganjaran
buat mek.
 
                     Aku kehilangan.. 😭😭😭                     
 Al Fatihah.
 
       Karya Norlilah Ismail
              Ogos 2020

Friday, August 07, 2020

KEMBALI

                                                        

                             
Celik dalam warna suram
kancah kehidupan
kesukaran amat panjang
kasih sayang jauh terasing
merindui bicara dalam tangis yang sedan
menyesak dada
tercunggap menahan duka yang merintih raga

Usai melangkah waktu
aku menghitung rasa
kian hari semakin kosong
kelangsungan hidup yang mendesak
memendam sebuah kehidupan penuh ujian
liku-liku yang bercabang
mengheret langkah tersasar
mencari cahaya dan pengharapan
penyuluh keabadian

Aku lelah
merenung kekhilafan yang sia-sia
menerawang, menghitung keseronokan yang terleka
memahat titik-titik noda
tersembunyi dalam fatamorgana

Aku tak betah sendirian
tersungkur
memeluk diri dalam tangis yang bisu
mencengkam hati yang terkunci
perih hampa

Siapa yang hadir
menghulur tangan dalam kelemasan yang merantai
Siapa yang menyonsong diri merelakan aku menyandar.

Tuhan ku
bagai mimpi menyentap diri yang lena beradu
aku dibisik langkar kata yang indah
dari naskah suci
dengan rimbunan kasih mengubat jiwa
dalam keinsafan yang menyusuk rasa
memayungi aku yang terkapar dalam kepanasan yang membara
minda bagai terbuka
untuk menyelami rahsia kitab mu

Tuhan ku
aku ingin kembali
 sujud kepada mu
sebagai hamba yang redho
mengharap pengampunan
aku sering berpaling pada mu yang esa
 noda yang bersisa
 dosa-dosa yang kini menghimpit jiwa
membunuh ketenangan yang ku damba

Astaghfirullah Rabbal Barroya
Astagfirullah Minal Khotoya
Ampunkan aku ya Allah

Aku masih bertatih
langkah ku masih menjauh
pandangan masih terhijap
untuk menyelami rahsia mu
Tuntuni aku
sematkan keyakinan di dada
agar aku sentiasa dalam rahmat mu
agar aku sentiasa diberi hidayah
hingga ke hujung nafas menghela.



NorM Puisirasa
7 Ogos 2020


Hasbi Rabbi Jallaullah, Ma Fi Qalbi Ghaiyrullah
Cukuplah Tuhan bagiku Allah Maha Agung, tiada Tuhan dalam hatiku kecuali Allah

Nur Muhammad Sallaullah Laillah Hail Laullah
Cahaya Muhammad selamat atasnya, benarlah tiada Tuhan selain Allah