Friday, October 18, 2013

Model Pengurusan Perubahan - Memantapkan pembudayaan ICT di sekolah

Rujukan
The Malaysian Smart School: A Conceptual Blueprint
Rusmini  Ku Ahmad:   Implementasi ICT dan Kepimpinan Sekolah.   Kajian kes di sekolah-sekolah    

                                   Bestari dan SMJKC  

Merujuk kepada kajian kes 1 di mana kajian telah dibuat terhadap 10 buah Sekolah Menengah  Bestari dan 2 buah SMJKC.  Sekolah bestari merupakan sekolah rintis ICT dan 2 buah sekolah cina merupakan sekolah cemerlang ICT.  Model pengurusan perubahan (merujuk kepada KASAbestari) Kongsi, analisis, sebar dan aksi. Dalam  konteks ini  kongsi, analisis, sebar dan aksi melalui  3 lapisan  yang boleh membawa perubahan bagi memantapkan pembudayaan ICT di sekolah. 3 lapisan tersebut iaitu faktor sekolah, proses implementasi dan ciri individu.

Faktor sekolah
Di dalam faktor sekolah, sekolah berkongsi segala kemudahan yang diberikan. Membuat analisis bagi kekuatan dan kelemahan serta peluang dan cabaran untuk membudayakan ICT. Sekolah juga menyebar tentang penggunaan ICT.

Dalam hal ini sekolah bersedia untuk bergerak ke arah pembudayaan ICT.   Pengaruh luar memainkan peranan untuk memantapkan budaya ICT.  Sokongan KPM, JPN, PPD dan PIBG dapat membantu dengan memberi kemudahan-kemudahan seperti memberi  sumber  ICT.  Pemberian Bestari Net , Makmal-makmal Komputer, Penyediaan Pusat Akses, Edu wed TV serta peralatan yang mencukupi memberi  kesediaan kepada sekolah untuk menghadapi gelombang abad ke 21.

Penarafan bintang SSQS (The Smart School Qualification Standard) oleh KPM menggalakkan penggunaan ICT di sekolah. Etos sekolah sebagai Sekolah Bestari memberi  ruang yang sangat luas kepada pembestarian sekolah.
Begitu juga sokongan PIBG dalam memberi dana untuk melengkapkan barangan ICT serta penyelenggaran kecil memudahkan pihak sekolah mengurus perubahan kepada ICT.

Sokongan dari segi teknikal – bantuan dari teknician dan guru yang kompeten ICT dapat membantu dalam penyediaan PdP, penggunaan alat ICT dan penyelenggaraan kecil  seperti  permasalahan “laptop” atau komputer, pemasangan LCD dan sebagainya dapat memudahkan guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran dengan kondusif.

Proses Implementasi
Dalam melaksanakan  perubahan, latihan diberi  kepada pentadbir dan guru supaya mereka berkemahiran untuk mengendalikan peralatan dan digunakan dalam proses  pengajaran dan pembelajaran contohnya menggunakan LCD  dan bahan dari internet untuk PdP. Latihan dalam perkhidmatan  yang lebih berfokus seperti menggunakan email, Virtual Learning Program, membina blog dirancang  untuk memantapkan guru-guru dalam ICT.  Pelan Tindakan jangka panjang dan jangka pendek dirangka supaya guru-guru bersedia dengan kemahiran tersebut.

Bagi meyebar luas penggunaan ICT, penggunaan ICT  dalam pengurusan harian juga perlu diimplemenkan.  Suka atau tidak suka guru-guru terpaksa menggunakan ICT  dalam penyampaian maklumat oleh pentadbir, contohnya dengan mengadakan “ ONE Centre INFO” penggunaan “LAN” server dalaman di mana semua maklumat berkenaan peperiksaan dan  aktiviti sekolah ditempatkan dalam satu server. Semua warga sekolah berkongsi maklumat. Penggunaan e-rekod (Sistem Pengurusan Sekolah), e-disiplin, Sistem Maklumat Murid meluaskan lagi penyebaran ICT di sekolah.

Bagi murid-murid pula, guru-guru boleh mengadakan program-program yang melibatkan semua murid, contohnya pertandingan membina blog. Menulis surat menggunakan email dalam PdP Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Sekolah juga boleh menyediakan KIOS ICT supaya murid dapat melayari internet semasa waktu rehat. Aktiviti-aktiviti yang melibatkan  ICT dirancang supaya pelaksanaannya lebih berkesan.

Ciri Individu
 Dalam usaha untuk membudayakan ICT di sekolah sikap individu warga sekolah memainkan peranan utama bagi melonjakkan pembudayaan dengan cepat. Sikap yang  positif dari semua warga sekolah dengan memberi komitmen dalam  perancangan pembestarian sekolah akan memantapkan lagi usaha pembudayaan. Kepentingan pengetahuan  dan kemahiran  ICT perlu ada dalam setiap individu untuk bersaing di peringkat global.

Kesimpulannya dengan memahami  Model Pengurusan Perubahan  kita dapat memantapkan pembudayaan ICT di sekolah.  Sebagai pemimpin sekolah adalah menjadi tanggung jawab kita melaksanakan pembudayaan ICT di sekolah kerana di era abad 21 ini, keperluan kepada ICT amat mendesak sekali. Kepimpinan mempengaruhi penggunaan ICT di sekolah.
Kearsley dan Lynch (1992) berpendapat bebolehan membina Visi serta membawa perubahan melalui implementasi  ICT adalah elemen yang kritikal yang perlu ada pada kepimpinan sekolah. Pemimpin harus mempunyai kompentensi dalam mengimplimen dan menginterasi pemimpin teknologi di sekolah. Thomas dan Knezek (1991) merumuskan hasil dapatan kajian 240 pemimpin sekolah berjaya dalam mengintegrasi ICT dan penstrukturan sekolah.


                     

Knowledge management - Apa benda nie....

     “Knowledge management”  atau pengurusan ilmu dalam pendidikan masa kini membekalkan  satu rangka kerja tentang  bagaimana amalan penilaian yang baik, sebenarnya, bergantung kepada pengurusan maklumat yang berkesan. Perkara yang penting dalam “knowledge management” iaitu  menggunakan data sebagai maklumat dan pengetahuan untuk membuat penilaian terhadap yang tersurat dan tersirat dalam penyelesaian isu di sekolah. . Satu set skema yang mudah untuk menghubungkan manusia, proses dan teknologi untuk menguruskan pengetahuan disediakan.  Bagaimana organisasi boleh mempromosikan dasar-dasar dan amalan-amalan bagi membantu orang ramai berkongsi  dan menguruskan pengetahuan. 

     Dengan meletakkan keikhlasan hati ke dalam amalan, “ knowledge management “ , ia dapat membina kerja berpasukan yang profesional dengan melibatkan diri secara aktif dan berkongsi dengan orang lain tentang apa yang mereka tahu dan apa yang mereka belajar. Integrasi pengurusan pengetahuan memerlukan pemahaman bagaimana untuk menyelaraskan  dalam konteks organisasi. Bagi seorang pendidik  “knowledge management” amat perlu dan  adalah lebih berkesan bagi pendidik untuk membuat keputusan mengenai proses kerja, penambahbaikan program, dan yang paling penting, pencapaian pelajar.  

     Kesimpulannya dengan adanya pengetahuan  dan maklumat yang tepat berdasarkan data kita boleh bertindak dengan cara yang betul bagi kemajuan dan pembangunan sekolah tanpa hanya membuat andaian berdasarkan agak-agak atau rasa.

Friday, October 04, 2013

Kerjasama komuniti dalam pembangunan sekolah - Cara membina jaringan dan jalinan

Pelbagai program yang di jalankan di sekolah melibatkan hubungan dengan komuniti.  Hubungan dengan masyarakat setempat dan komuniti luar yang akrab akan membina jaringan dan jalinan yang memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.  Pihak sekolah memerlukan pihak luar bagi mendapatkan sokongan dana untuk menjalankan program dan pihak luar pula sering memohon bantuan dari segi murid-murid dan guru untuk melibatkan diri dalam program mereka.
Program yang boleh dibuat di sekolah ialah program mencari dana bagi menampung pembiayaan untuk membeli sebuah van di sekolah ini. Program yang disebutkan ialah program Hightea. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan ibubapa dan guru. Kejayaan program Hightea banyak bergantung kepada kemahiran pengetua dan PIBG untuk melaksanakannya. Kerjasama dari kedua pihak membolehkan ia dapat dijalankan Perbincangan pengetua dan PIBG adalah dalam suasana muzakarah, mencari penyelesaian masalah bagi mencari sumber kewangan. Di sinilah perlunya komunikasi yang berkesan antara kedua pihak supaya persefahaman dapat dijalinkan. .
Sebagai seorang pengetua beliau seharusnya bijak membina dan membangunkan kapasiti staf bermula dari perancangan hingga kepda pelaksanaan program. Dalam hal staf pula satu jawatan kuasa dibentuk di mana guru-guru dikenal pasti tentang peranan dan tugas yang perlu dijalankan. Guru yang berpengalaman dan guru baru dibangunkan melalui (PLC) Komuniti Pembelajaran Profesional dan melalui Profesional Guru Berasaskan Sekolah. Di sini pentingnya coaching and mentoring, team teaching di mana perkongsian ilmu dalam (PLC) dan PGBS dikongsi bersama. Peningkatan kompentensi guru berlaku dan program dapat dilaksanakan dengan cemerlang seterusnya ia akan menjadi budaya dalam mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran di sekolah.
Program Hightea sememangnya melibatkan komuniti luar di mana pihak sekolah berhubung dengan pihak luar untuk menjual kad-kad Hightea. Semua warga sekolah dan ibubapa murid terlibat dalm penjualan kad hightea. Ibubapa berperanan dalam sarana PIBG membantu sekolah bersama-sama menjual kad hightea. Kerjasama ini akan mengeratkan hubungan PIBG dan sekolah. Hubungan jaringan dan jalinan dengan pihak luar memudahkan pihak sekolah mendapat tajaan seperti kemudahan pinjamaan khemah dari Kem Askar Sungai Udang Melaka. Selain itu pihak sekolah boleh mendapatkan hiasan-hiasan bunga, karpet,kerusi dan meja dengan percuma melalui Majlis Perbandaran Alor Gajah. Dengan ini membolehkan pihak sekolah mengurang kan kos perbelanjaan hightea dan seterusnya mendapat keuntungan yang lebih.
Dalam proses pelaksanaan, kerja sepasukan amat diperlukan. Ini adalah kerana semua kerja memerlukan satu pasukan yang mantap dan berpengalaman untuk menjayakan Hightea kerana program Hightea merupakan satu program yang besar. Oleh itu, semua warga sekolah perlu bergerak ke satu visi dan satu matlamat, iaitu mencari dana bagi pembelian sebuah van di sekolah. Sememangnya kerja sepasukan bukan mudah dilakukan. Banyak cabaran yang akan dihadapi namun kerjasama dan tolak ansur dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas dan juga yang setara membolehkan program ini berjalan lancar. Dalam hal yang demikian komunikasi berkesan sangat memainkan peranan.
Semasa Hightea berlangsung, banyak perkara-perkara tentang majlis rasmi tidak formal perlu diambil kira. Ini adalah kerana protokol yang perlu dipatuhi. Seorang event manager perlu dilantik untuk memastikan perjalanan majlis pada hari itu berjalan dengan lancar. Pakaian adalah baju batik. Dalam majlis begini, pengerusi majlis memainkan peranan yag sangat penting kerana dialah yang mengawal majlis. Sistem bunyi perlu dijaga kerana kegagalan berfungsi dengan baik akan mencacatkan majlis. Pelan kontigensi untuk sistem bunyi perlu ada. Biasanya penggunaan  bateri kereta untuk mendapat tenaga elektrik disediakan untuk pelan kontigensi. Semasa majlis begini, pihak sekolah akan memaklumkan kepada Tenaga Nasional untuk menghantar juruteknik sebagai bantuan teknikal kerana majlis ini akan dihadiri oleh ketua negeri.  Bermulanya dari persediaan menyambut tetamu khas  akan disambut dengan kompang dan bunga manggar. Persediaan untuk lagu Negara ku dan lagu negeri Melaka siap terpasang apabila perasmi sampai ke tempat duduk yang di khaskan. Posisi bagi Yang berhormat ialah di tengah. Sebelah kanan pengetua dan kiri Yang DiPertua PIBG. Jawatan Kuasa  sambutan perlu membuat tagging pada tempat duduk utama supaya tidak berlaku salah posisi kedudukan.
Aturcara bagi ucapan pula, dimulakan dengan bacaan doa. Kemudian pengetua akan berucap sebagai tuan rumah dan diikuti oleh Yang di Pertua PIBG. Akhir sekali Perasmilah yang akan berucap.  Pihak sekolah perlu menyediakan teks ucapan tersebut dan menyerahkan kepada perasmi  semasa beliau duduk.




Kesimpulannya dalam kita membuat program yang besar yang melibatkan seluruh warga sekolah, komuniti setempat, ibu bapa dan komuniti luar, seorang pengetua perlulah mempunyai pengetahuan dalam mengendalikan program tersebut. Kemahiran mengurus program dari A sampai Z perlu ada pada seorang pengetua. Selain itu kemahiran berkomunikasi dengan berkesan oleh seorang pengetua akan memudahkan seorang pengetua mengurus staf di bawahnya untuk bekerja dalam satu pasukan.. Pengetua yang bijak dapat membangunkan kapasiti surbodinatnya. Di samping itu kemahiran berkomunikasi juga memudahkan pengetua mendapat sokongan PIBG dan masyarakat luar.


Pesanan Saidina Ali R.A.

Pesanan  Saidina Ali R.A. kepada Malik Al-Harith berkenaan pemilihan Ketua Hakim-Dalam memilih ketua hakim pilihlah orang yang paling baik dalam kalangan rakyat. Seorang yang tidak ada masalah rumah tangga. Tidak boleh digertak, jarang melakukan kesilapan, tidak berputus asa dalam mencari kebenaran. Tidak tamak haloba, Tidak akan membuat keputusan selagi tidak mengetahui kebenarannya. Tidak pentingkan diri sendiri dan sentiasa membuat pertimbangan dalam semua keputusan yang dibuat. Akan mengumumkan keputusan dengan jelas setelah membuat pertimbangan.
Nasihat-nasihat yang diberikan kepada Malik Al-Harith dapat diamalkan dalam pengurusan  di sekolah. Dalam kita memilih ketua bagi menerajui unit-unit dalam pentadbiran contohnya menjadi ketua panitia, ketua jadual waktu dan lain-lain ketua yang utama. Kita hendaklah memilih seorang yang mempunyai perlakuan yang baik. Seorang yang mempunyai karisma, berani dan sentiasa melaksanakan tugasan dengan  cekap dan betul. Jika ada perkara yang tidak patut berlaku beliau berani untuk menegur dan membetulkan. Seorang ketua panitia semestinya seorang yang berupaya menegur orang bawahannya dari aspek kerja. Jika orang bawahannya melakukan kesilapan, beliau perlu membantu dan membimbing supaya pelaksanaan kurikulum dapat berjalan dengan berkesan. Begitu juga dengan pengajaran dan pembelajaran, beliau boleh menjadi mentor kepada ahli-ahli panitia. Dengan cara itu permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran boleh dikurangkan dan seterusnya dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran guru kepada murid.
Saidina Ali juga menyatakan gaji yang diberikan hendaklah sesuai dengan jawatan yang dipegang di mana cukup untuk hidup dalam kesenangan dan setaraf dengan kedudukan supaya beliau tidak tergoda dengan kemewahan. Kedudukannya mesti tinggi supaya beliau tidak terpengaruh dengan fitnah dan hasutan. Dalam hal ini kita sebagai pentadbir hendaklah meletakkan ketua-ketua di tempat yang sepatutnya. Contohnya, ketua panitia dikumpulkan dalam bilik yang berbeza dengan orang lain. Keistimewaan dari segi jumlah masa mengajar diberikan kepada mereka kerana mereka mempunyai jawatan yang tinggi di sekolah. Kedudukan sebagai ketua dan diberi sedikit keistimewaan akan meningkatkan rasa hormat orang bawahan terhadap mereka.
Sebagai seorang ketua, mereka tidak boleh bersikap pentingkan diri sendiri, mereka perlu meletakkan organisasi atau sekolah sebagai keutamaan mereka jika mereka ingin melihat kejayaan anak-anak murid.

Saidina Ali R.A  juga berpesan tentang  Badan Kehakiman Rendah. Apabila memilih pegawai dalam badan kehakiman. Hendaklah memilih dengan penuh berhati-hati kerana jawatan ini menjadi rebutan  dan idaman bagi orang yang ingin mencari kekayaan dan tamak haloba. Jangan memilih pegawai atas dasar nepotism dan kronism kerana akan timbul kelak ketidak adilan dan kecurangan. Di sekolah apabila kita memilih pegawai kita perlu melihat tentang pengalaman seseorang dan yang lebih baik lagi orang tersebut mestilah orang yang beriman.. Ini perlu kerana orang yang beriman tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh melanggar perintah agama. Semua pekerjaan dilakukan kerana Allah. Oleh itu keikhlasan melaksanakan tugas akan terbit dengan cara yang tidak sedar. Andai kita memilih pegawai atas dasar kroni dan nepotism, kelak kemungkinan salah guna kuasa dan penyelewengan akan berlaku.
Dalam menguruskan sekolah, pengurusan harta sekolah perlu diurus dengan baik. Seperti pesanan Saidina Ali  tentang pentadbiran hasil hendaklah dilaksanakan dengan penuh teliti untuk memastikan kesejahteraan orang-orang yang membayar cukai kepada kerajaan kerana kesejahteraan mereka menentukan kemakmuran hidup orang lain terutamanya kemakmuran hidup rakyat jelata.
Dalam hal ini kita sebagai pengurus sekolah perlu menjaga sekolah dengan penuh tanggung jawab. Contohnya menjaga fizikal bangunan sekolah, sebagai pengurus sekolah kita perlu memastikan bangunan sekolah yang ada dapat berfungsi sebagai tempat untuk belajar murid. Memastikan bumbung tidak bocor, simen tidak pecah dan sebagainya. Murid dapat belajar dalam keadaan kondusif serta dapat menggunakan segala perabot seperti kerusi, meja dengan sempurna. Sebagai guru juga kita perlu menjaga aset-aset kerajaan supaya murid atau rakyat dapat menggunakan dan menikmati apa yang diberi oleh kerajaan. Jika ada kerosakkan pada aset atau fizikal sekolah, kita perlu membuat penyelenggaraan dengan segera supaya ia dapat dibaiki dan digunakan. Andai kita prihatin tentang segala yang diperlukan oleh warga sekolah, kita akan disanjung dan dihormati oleh semua orang.
Kesimpulannya, pesanan Saidina Ali banyak menekankan tentang kehidupan kita sehari-hari. Pesanan tersebut banyak menasihati kita bagaimana untuk memilih ketua dalam sesuatu organisasi dan bagaimana mengurus harta yang terdapat dalam organisasi tersebut. Pemilihan seorang ketua yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan, beriman dan bertakwa merupakan ciri utama untuk menjadi ketua. Pemimpin yang yang bertakwa tidak akan melakukan perkara-perkara yang melanggar perintah. Pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan seperti berani, tidak mudah dicabar, merupakan pemimpin yang boleh membawa kepada kecemerlangan organisasi.
Dalam memilih ahli dalam organisasi, sememangnya di sekolah kita menerima pegawai yang dibekalkan kepada kita. Oleh itu apa yang perlu kita laksanakan ialah kita membentuk pegawai-pegawai bawahan kita menjadi seorang yang boleh dipercayai dan sedia untuk berkhidmat kepada organisasi. Caranya ialah dengan membentuk satu team yang boleh bekerja secara sepasukan. Dalam LADAP boleh diterapkan kerja sepasukan. Dalam aktiviti yang terdapat di sekolah kita pupuk semangat kekeluargaan supaya saling menolong dan saling perlu memerlukan.

Seterusnya dalam pentadbiran mengurus harta sekolah sebagai pengetua kita perlu sentiasa memastikan pembangunan sekolah dijaga dan sentiasa membuat penambahbaikan supaya sekolah berada dalam keadaan sempurna dan lengkap dan memberi kemudahan dan faedah kepada semua warga dan masyarakat setempat. Pesanan Saidina Ali memberi kita panduan dalam menerajui organisasi dan penghayatan tersebut perlu untuk memudahkan kita mentadbir sekolah.

KEPIMPINAN EMPATIK

Kepentingan Kepimpinan Empatik bagi Meningkatkan Kesedaran Sosial dalam Kalangan Pemimpin Organisasi
Empati mencakupi banyak aspek terhadap penilaian moral dan tindakan (Goleman, 1995). Ianya wujud secara semula jadi jika kita sedar terhadap persekitaran dan tekanan yang mempengaruhi antara satu sama lain (Senge, 1990). Dalam kalangan pemimpin, kepimpinan empatik perlu bagi meningkatkan kesedaran sosial kerana pemimpin sentiasa berhubung dengan manusia.
Jika seseorang pemimpin sekolah mengamalkan ciri empati, kepercayaan subordinat (guru-guru dan staf) terhadap pentadbiran sesebuah sekolah akan meningkat. Pihak guru dan staf akan mempunyai motivasi yang tinggi dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Ini kerana pendapat dan sumbangan mereka didengari dan dihargai oleh pihak pentadbir sekolah. Keadaan ini akan mewujudkan kepuasan kerja di kalangan guru dan staf sekolah.
Pemimpin sekolah yang mengamalkan ciri empati akan menjadi lebih rapat dengan guru-guru dan staf.  Jika hubungan yang memberi manfaat terhadap pemimpin dan subordinat ini diamalkan, suatu iklim kerja yang positif dapat diwujudkan. Ini kerana wujudnya suasana kerjasama yang sangat erat di antara pemimpin dan subordinat. Secara tidak langsung, pentadbiran sesebuah sekolah akan berjalan dengan lancar yang akhirnya memberikan manfaat terhadap kemajuan para pelajar. 
Menurut kajian oleh Leonardo BADEA & Nicolae Alexandru PANÄ‚ (2010), seorang pemimpin yang mempunyai aras kebolehan berempati yang tinggi, mereka akan memperolehi ciri-ciri seperti berikut:
  1. Mereka berupaya membina perhubungan interpersonal yang lebih kuat
  2. Mereka adalah lebih baik dalam motivasi kendiri
  3. Mereka berperanan sebagai pemimpin yang lebih baik
  4. Mereka dapat beradaptasi dengan lebih mudah terhadap perubahan
  5. Mereka mewujudkan iklim kerjasama
  6. Mereka lebih mudah menenangkan diri mereka
  7. Mereka lebih dipercayai oleh subordinat
  8. Mereka mewujudkan perhubungan antara ahli-ahli dalam organisasi
  9. Mereka mewujudkan resonans (kata-kata mereka didengari oleh subordinat)
Pemimpin yang empatik akan mewujudkan hubungan yang positif di kalangan ahli-ahli organisasi sekolah. Apabila keadaan yang positif wujud, para guru dan staf akan bekerja dengan motivasi yang tinggi dan memberikan mereka kepuasan dalam melaksanakan tugasan masing-masing. Pemimpin sekolah yang berempati terhadap guru-guru dan staf akan lebih dihormati dan arahan mereka akan mudah didengari oleh guru-guru dan staf. Sesebuah sekolah yang mempunyai seseorang pemimpin berkesan yang mengamalkan ciri empati ini akan muncul sebagai sebuah sekolah yang cemerlang para pelajarnya dari aspek sahsiah dan juga akademiknya.

Justeru itu, ciri empati yang ada pada pemimpin ini seharusnya diamalkan sebaik-baiknya oleh seseorang pemimpin di sesebuah organisasi sekolah selagi ianya tidak disalahgunakan. Ianya bermula daripada niat yang ikhlas terbit dari hati seseorang pemimpin untuk memberi perkhidmatan kepada subordinat supaya suatu suasana kerja yang positif wujud dalam organisasi yang ditadbirnya. Ini bertepatan juga dengan konsep yang diamalkan oleh corak kepimpinan Islam yang mementingkan amalan kerja yang dimulai dengan niat kerana Allah SWT.

Stres dan kemurungan di tempat kerja



Masalah stress di tempat kerja memang selalu berlaku. Sebagai pemimpin di sekolah kita perlu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengelakkan senario yang tak terkawal berlaku di sekolah.
Langkah yang paling utama yang perlu dibuat ialah mewujudkan iklim sekolah yang kondusif dan selesa.  Pemimpin perlu memahami latar belakang staf dan sentiasa mengenal pasti setiap staf yang mempunyai ciri-ciri tekanan perasaan atau stress. Biasanya guru di sekolah mrenghadapi tekanan kerana beberapa masalah seperti masalah beban kerja, kewangan,  peribadi, keluarga,  persekitaran yang tidak selesa, dan lain-lain.
Masalah ini akan mengakibatkan seorang individu itu merasa gelisah, risau keterlaluan, gangguan tidur, kurang tumpuan pada kerja, cepat marah dan mudah bertindak agresif. Sebagai pemimpin apabila kita sudah mengenal pasti individu tersebut, kita perlu merujuk kepada kaunseling untuk membantu staf tersebut. Sebelum itu sesi bersemuka dengan staf tersebut perlu dibuat bagi mencari punca masalah. Dalam sesi bersemuka soal jawab pemimpin perlu memgamalkan empathy. Bila ada empathy dalam diri kita maka mudahlah kita memahami dan merungkaikan masalah tersebut. Langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berbincang bersama-sama agar yang keruh dapat dijernihkan.   Merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah.

Guru atau staf tersebut dinasihatkan dan diberi bimbingan. Amalan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengatasi stress boleh dijadikan rujukan dan amalan.
 Amalan tersebut ialah 10B.
Beribadat
Bertenang
Berkata: Relaklah...
Bercakap dengan seseorang
Berurut
Berehat dan mendengar muzik
Beriadah
Bersenam
Berfikiran positif
Dengan senyum selalu kita dapat mengurus stress cara efektif. Mengurus stres adalah suatu kemahiran yang penting dalam kehidupan kita pada hari ini. Jika stres tidak diuruskan dengan baik, ia akan melemahkan sistem imun tubuh dan akan memudaratkan kesihatan kita. Produktiviti kita di tempat kerja menurun dan kehidupan rumah tangga kita juga terganggu.
Kajian di Barat menunjukkan berjuta-juta orang mengurus stres mereka secara tidak efektif apabila mereka menghadapi situasi sarat dengan stres sepanjang hari dan kemudian menangguhkan proses relaksasi (relaxation) pada masa-masa tertentu di hujung minggu atau selepas waktu kerja. Pada hakikatnya, pendekatan ini tidak berkesan kerana pendedahan berterusan kepada keresahan kronik (chronic anxiety) setiap hari adalah kategori stres yang paling membahayakan.
Dalam keadaan stres yang meruncing, badan kita akan mengeluarkan hormon yang akan melemahkan sistem imun dan meningkatkan risiko pelbagai penyakit.Justeru itu, stres harus ditangani serta-merta sama ada di pejabat atau di rumah dengan mengubah cara bagaimana kita bertindak balas. Ia boleh dilakukan dengan beberapa strategi menangani stres yang disokong oleh kajian saintifik. Oleh itu sebagai pemimpin kita perlu melonggarkan stress dengan tidak menekan pekerja kita dengan beban kerja yang tidak munasabah. Sekali sekala adakan aktiviti riadah bersama-sama warga sekolah seperti membuat pertandingan futsal, bowling dan sukan yang lain. Membuat hari keluarga juga dapat mengurangkan stress. Memuji dan menghargai staff juga boleh menggembirakan staf. Sebagai pemimpin jadikan diri kita tempat berlindung staf. Dengan cara ini staf akan percaya dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kita.

Kesimpulannya,pemimpin memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan stres di sekolah. Stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana  implikasinya terlalu besar.  Orang yang sedang dalam tekanan yang keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri.  Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin.  Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut.  Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur.

Tonggak 12 - Mampukah kita mengamalkannya?

Adakah kita sebagai penjawat awam menghayati tonggak 12?. Kita selalu alpa dan terlupa tentang 12 perkara yang patut menjadi amalan dalam pekerjaan kita. Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri adakah kita sentiasa tepat datang ke pejabat atau masuk ke kelas.... tepuk dada tanya lah hati. Dosa tidak ada intergriti terhadap pekerjaan tanggunglah sendiri. Duit yang kita ambil tiap bulan tu....halal ker?.

1.     MENGHARGAI MASA
          “Masa itu emas.” – Berlalunya masa tanpa sebarang perbuatan atau sumbangan yang berfaedah bererti satu kerugian. Tidak bertindak segera atau melengahkan keputusan akan menyebabkan hilangnya peluang keemasan. “ Those who make the worst use of their time most complain of its shortness”- La Bruyere. “ An in inch of time cannot be bought by an inch of gold” – Chinese proverb. 
“Demi Masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar” – Al Quran 103: 1-3.
Amalan Positif:
     * Menepati masa.
     * Menyegerakan tugas.
     * Mempunyai perancangan waktu.
     * Bijak menggunakan tempoh masa  yang  diberi.
     * Menumpukan masa pada kerja-kerja  yang produktif dan kreatif.
     * Menetapkan “target date” untuk  menyiapkan kerja.
     * Menyelesaikan tugas dalam masa  yang ditetapkan.

2.     KESERONOKAN BEKERJA
          Kerja adalah satu tanggungjawab yang berat. Jika kita berpendirian optimistik, kerja itu sesuatu yang menyeronokkan:   

       Amalan Positif:
    * Menganggap kerja sebagai  ibadah.
    * Inisiatif sendiri.
    * Menghasilkan sesuatu yang  berfaedah.
    * Komited dan sedia bekerjasama.

3.  KETINGGIAN PERIBADI
“ the total personality” – wataknya, gaya membawa diri, sikap dan perilakunya dalam pergaulan sesama manusia  baik di rumah sendiri, di dalam organisasinya dan di dalam masyarakat umum.  Sikap yang positif dan terbuka.   Perilaku atau pekerti yang  penuh adab dan sopan santun.   Sifat luaran- segak,kemas dan  bersih.  Sifat Dalaman- tenang, belas kasihan  tetapi tegas, mesra,berdisiplin dan pemaaf.

      Amalan Positif:
  * Teguh beriman dan bertakwa dalam setiap tindakan.
  * Menyempurnakan tugas dengan amanah.
  * Ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab.
  * Berilmu dan berpengetahuan luas.
  * Adil dan setiap tindakan.
  * Sedia berkorban.
  * Berlumba-lumba membuat kebajikan.
  * Bersifat penyayang.
  *Kemas Berpakaian, pemikiran dan tindakan.
 * Sabar dan teguh menghadapi cabaran.
 * Bertimbang rasa tetapi tegas.
 * Bersopan santun.
 * Taat setia dan patuh kepada arahan.
 * Bersyukur dan menghargai kebaikan.
 * Bersih daripada sifat dengki.
 * Berani dan berpendirian teguh.
 *Bertanggungjawab dan sedia berbakti.
 * Jimat cermat.
 * Tertib dan baik budi bicara.
 * Cergas dan cekap.
 * Cekal menghadapi cabaran.
 * Bekerjasama dan saling hormat- menghormati. 

Tiga elemen tonggak 12 iaitu menghargai masa, keseronokan bekerja dan ketinggian peribadi ini dapat diterapkan kepada staf di sekolah dengan amalan sehari-harian. Penekanan kepada agama yang ditekankan, staf akan merasakan bahawa jika mereka tidak menepati masa atau tidak menyegerakan tugas atau menyiapkan tugasan pada waktu yang telah ditetapkan, ia merupakan satu dosa,  pada hari kemudian akan dipersoalkan. Dengan adanya MMI (Melindungi Masa Instruksional),  semua staf bertanggung jawab untuk patuh pada arahan tersebut. Seterusnya amalan yang terpaksa dilakukan akan menjadi biasa dan menjadi budaya kerja cemerlang.

Staf akan berasa seronok untuk bekerja jika kurang tekanan dari pihak atasan. Oleh itu pihak pentadbir seboleh-bolehnya mengujudkan iklim selesa dan kodusif kepada stafnya supaya mereka gembira untuk bekerja. Staf dibantu dan diberi bimbingan dalam pekerjaan. Coaching and mentoring diamalkan supaya staf akan merasa mereka sentiasa diambil perhatian. Touching yang begini akan mewujudkan perasaan sukarela untuk bekerja dan menjadikan pekerjaan itu sebagai ibadah.

Dalam ketinggian peribadi pula staf akan sentiasa diingatkan tentang amalan-amalan yang mempunyai keperibadian yang tinggi. Amalan ini perlu dilakukan oleh pentadbir dahulu supaya kepimpinan melalui teladan akan menjadi ikutan kepada subordinatnya.

Kesimpulanya dalam kita menerapkan elemen dalam tonggak 12 integriti atau amanah perlulah ada dalam se
tiap diri kita. Dengan mengamalkan nilai-nilai yang baik ketinggian peribadi akan tercipta dan secara tak langsung kita akan menghargai masa dalam setiap pekerjaan kita dan seterusnya memberi keseronokan untuk kita bekerja.